Isu kartel daging: MPM saran rombakan besar-besaran Jakim
Umavathi Ramayah
Disember 29, 2020 16:45 MYT
Disember 29, 2020 16:45 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu dirombak secara besar-besaran dengan melantik mereka yang kompeten, berkebolehan dan berintegriti berikutan kegagalan jabatan itu yang didakwa gagal menangani isu kartel daging tidak halal.
Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gerakan Pertahankan Kedaulatan Perlembagaan, Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tun Mohamad Hanif Omar berkata, jabatan itu juga wajib dihukum di atas kelalaian membangunkan industri ternakan.
"Di samping Jakim dihukum atas dosanya membiarkan kegiatan haram, menghalalkan kegiatan kartel import daging tidak halal, jabatan ini juga wajib dihukum atas kelalaiannya membangunkan industri ternakan.
"MPM menyarankan rombakan besar-besaran dilakukan terhadap jabatan ini dengan melantik mereka yang kompeten, berkebolehan dan berintegriti untuk menerajui jabatan ini, membangunkan dan memajukan industri ternakan negara," katanya pada sidang akhbar di pejabat MPM di sini, pada Selasa.
Hanif yang juga ahli Lembaga Penasihat MPM menyarankan skim pensijilan halal oleh Jakim dibekukan serta-merta.
"Jakim wajib melepaskan tugas dan tanggungjawab mengendalikan pensijilan halal yang selama ini dikendalikan secara bersendirian," jelasnya.
Pada masa yang sama beliau berpendapat, Maju Ternak perlu ditubuhkan kembali sebagai sebuah perbadanan, bagi digandingkan dengan Jakim untuk menerajui pelan pelaksanaan korporat pembangunan dan kemajuan sektor ini dengan kadar segera.
"Aktifkan semula Majlis Halal Malaysia (MHN) yang dibekukan fungsinya oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini," ujarnya.
Kesemua syor itu katanya, akan dikemukakan kepad Majlis Raja-Raya Melayu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, Majlis Raja-Raja perlu memerintahkan perkara itu di bawah perintah darurat kerana Parlimen akan mengambil masa yang lama untuk meluluskan tindakan ini.
"Bila isu kartel haram ini terbongkar ada dua perkara yang berlaku iaitu kegiatan kartel haram dan import daging tidak halal.
"Kemelut ini mendedahkan perkara utama iaitu gejala rasuah semakin menjadi-jadi, keberkesanan sistem penyampaian haram dan kegagalan pembangunan industri makanan negara," katanya lagi.
#Kartel Daging Haram
#JAKIM
#majlis perundingan melayu
#pensijilan halal
#rombakan
#Majlis Raja-Raja
#kartel haram