Isu kartel daging: KPDNHEP setuju supaya RCI ditubuhkan - Rosol

Hasimi Muhamad
Disember 29, 2020 14:12 MYT
KPDNHEP juga bersetuju supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat isu kartel daging import.- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan kerajaan bersetuju dan menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.
Menurut timbalan menterinya, Datuk Rosol Wahid, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Dalam masa sama, beliau berkata, Jawatankuasa Perundangan Khas Halal juga telah ditubuhkan.
“Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang mencadangkan untuk menubuhkan RCI. Kita menyokong penubuhan tersebut kerana dapat mendedahkan siapa sahaja yang bertanggungjawab kepada permasalahan ummah hari ini.
“Ada yang mengatakan kita cuba melindungi seseorang atau VIP, pada kita, kerajaan telus dan prihatin. (Mereka) yang salah tetap akan salah, yang benar tetap benar,” katanya katanya ketika menggulung perbahasan usul berkait isu kartel daging haram di Dewan Negara pada Selasa.
Setakat ini, Rasol berkata sebanyak 53 negara dibenarkan mengimport daging beku ke negara ini termasuk dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Asmak Husin mengemukakan usul mengikut Perkara 17 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara berhubung isu daging kartel haram yang menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara salah dan berniat menipu.
BACA: Jakim akan keluarkan senarai pengimport daging berlesen
Menerusi usul tersebut, Asmak berpandangan isu tersebut melibatkan kepentingan orang ramai; melibatkan nama baik kerajaan khususnya Jakim; dan ia perlu disegerakan kerana rakyat semakin marah dan khuatir dengan kes itu.
Sementara itu, Senator Sabani Mat dan Senator Muhammad Zahid Md Arip menyokong usul tersebut dan memohon kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan RCI.
Antara yang turut terlibat dengan perbahasan usul tersebut adalah Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusof; Senator Datuk Razali Idris; Senator Waytha Moorthy; Senator Datuk Kesavadas; dan Senator Idris Ahmad.
#Dewan Negara #RCI #kartel daging #haram #Rosol Wahid #KPDNHEP
;