Isu Kartel Daging: Harap tiada pilih bulu dalam siasatan polis - PERUJA

Fareez Azman
Disember 28, 2020 17:52 MYT
Tegas Pengerusi Pertubuhan Usahawan Jasin (PERUJA), Darman Dolhaji, tindakan kartel seolah-olah memandang enteng sensitiviti umat Islam di negara ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta agar menyiasat isu kartel daging yang mendapat perhatian ramai ketika ini sehingga dalang yang tidak bertanggungjawab itu dibawa ke muka pengadilan.
Tegas Pengerusi Pertubuhan Usahawan Jasin (PERUJA), Darman Dolhaji, tindakan kartel itu seolah-olah memandang enteng sensitiviti umat Islam di negara ini.
"Saya berharap dalam hal ini, pihak polis tidak 'memilih bulu', tidak ada double standard.
"Memang kita sangat sedih, ini melibatkan makanan yang jadi darah daging dan benda ini berlarutan begitu lama," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi pada Isnin.
Malah tambah Darman, siasatan juga harus menjurus kepada mereka yang berjawatan penting dalam jabatan kerajaan.
"Di dalam negara Islam berdaulat ini, masakan pihak berwajib walaupun diberikan jawatan dan pangkat, boleh mengambil enteng benda melibatkan makanan serta urusan agama ini.
"Bagi saya amat kecewa di situ, bukan sekadar apa yang kita makan, tetapi urusan agama diambil enteng, saya kecewa," katanya lagi.
Sebelum ini, akhbar Sinar Harian membongkar sindiket penyeludupan daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal.
Menurut laporan akhbar itu, taktik jahat kartel tersebut dibongkarkan dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.
#PDRM #polis #siasatan #PERUJA #Darman Dolhaji #laporan #Isu Kartel Daging #usahawan #Umat Islam #Malaysia #kerajaan
;