Isu kapal selam Scorpene: Peguam Perancis akan jumpa Peguam Negara
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 11, 2019 06:12 MYT
Februari 11, 2019 06:12 MYT
Peguam Perancis yang pernah dihalang memasuki negara ini satu ketika dahulu, William Bourdon, kini berada di negara ini untuk mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Tommy Thomas, berkaitan skandal pembelian dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.
Beliau hadir bersama rakan sejawatnya, Apoline Cagnat yang akan menemani beliau bagi pertemuan yang dijadualkan pada Selasa.
Kedua-dua mereka yang hadir ke Astro AWANI pada Isnin berkata, dasar kerajaan Malaysia Baharu yang menentang sebarang bentuk rasuah memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan usaha mereka dalam mendedahkan perkara sebenar yang berlaku mengenai kes skandal tersebut.
Menurut Apoline pertemuan bersama Tommy adalah penting dalam usaha kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam kes tersebut.
“Sebelum ini boleh dikatakan tiada kerjasama yang mampu dijalinkan oleh kedua-dua negara dalam isu ini. Kita juga boleh berbincang bentuk kerjasama yang mungkin boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia dan juga Perancis,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Let's Talk with Sharaad Kuttan yang diterbitkan Astro AWANI di sini pada Isnin.
Bagi William pula kes skandal pembelian kapal selam ini perlu diketahui oleh rakyat Malaysia terutamanya mereka yang membayar cukai tentang kebenaran sebenar.
“Ini adalah masa terbaik kerana kerajaan baharu yang mahu menentang segala unsur rasuah. Jadi pertemuan ini nanti adalah sangat penting,” katanya lagi.
William Bourdon pernah datang ke Malaysia pada 22 Julai 2011 namun ditahan oleh pihak Imigresen dan dihantar pulang ke negaranya pada hari yang sama.
Bourdon ditahan sebaik sahaja mendarat di KLIA pada jam 11.40 pagi pada tarikh tersebut .
#Astro
#Astro Awani
#cukai
#Imigresen
#kapal selam
#kerajaan
#KLIA
#Malaysia
#Peguam Negara
#rakyat
#rakyat Malaysia
#Rasuah
#Scorpene