Isu 'kangkung' jelas bermotif politik

Bernama
Januari 21, 2014 11:37 MYT
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Sohaimi Shahadan.
Isu 'kangkung' yang dimainkan pihak tertentu jelas bermotifkan politik dan cuba mengalih pandangan masyarakat daripada melihat pelbagai usaha murni yang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk bantuan kepada mangsa banjir.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Mohamad Mazlan Abdul Wahab berkata, kangkung hanyalah contoh yang dipetik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak namun ia dimanipulasi pihak tertentu bagi menaikkan lagi emosi rakyat.
"Memainkan emosi rakyat dengan memanipulasi contoh yang diberikan Perdana Menteri jelas satu perbuatan yang biadap dan tidak menghormati," katanya.
Dalam senario kenaikan harga barangan ekoran pelbagai faktor, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air keruh bagi membangkitkan rasa marah rakyat terhadap kerajaan.
"Apakah suasana harmoni yang kita nikmati selama ini tiada nilainya untuk terus kita pertahankan? Bantuan yang diberikan kerajaan tidak pula dimainkan malah isu kangkung pula diperbesarkan...ini adalah satu propaganda bagi memburukkan nama baik Perdana Menteri," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Pada Khamis lepas, Najib yang juga Presiden UMNO ketika mengulas isu kangkung itu berkata perkara itu tidak patut dipermainkan dan sayuran itu hanyalah contoh barangan yang digunakan orang ramai.
Mohamad Mazlan juga percaya isu itu sengaja ditimbulkan bagi mengalih tumpuan rakyat terhadap beberapa isu termasuk kalimah Allah, penutupan Pusat Latihan GiatMara di Selangor serta pergeseran yang membabitkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan anggota Parlimen Gombak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali.
Beliau juga mempersoalkan tindakan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dilihat gagal mempertahankan Perdana Menteri yang imejnya diburukkan pihak tertentu.
"Saya hairan, ke mana perginya anggota Parlimen BN yang sebelum ini gagah bersuara, tetapi dalam isu seperti ini tidak pula bersuara mempertahankan kerajaan," katanya.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Sohaimi Shahadan pula menyifatkan pihak yang memainkan isu kangkung itu sebagai tidak matang dalam berpolitik.
"Main isu kangkung ini, tak lucu pun...Perdana Menteri hanya bagi contoh untuk memahamkan mereka pada majlis pemberian bantuan (banjir di Terengganu) itu. Saya pun tak faham, apa yang lucunya sampai boleh dijadikan isu.
"Ini sengaja dibesar pembangkang. Rakyat kena tengok keseluruhan ucapan Perdana Menteri itu. Bagi yang berfikiran rasional, mereka faham apa yang cuba disampaikan Perdana Menteri," katanya.
#Barisan Nasional #kangkung #Mohamad Mazlan Abdul Wahab #Najib Tun Razak #pembangkang #Perdana Menteri #UMNO