Isu kanak-kanak tanpa kad pengenalan antara tumpuan Dewan Rakyat
Bernama
Julai 14, 2020 09:16 MYT
Julai 14, 2020 09:16 MYT
Isu kewarganegaraan untuk anak-anak tanpa kad pengenalan (stateless children) antara yang bakal mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang diajukan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) kepada Menteri Dalam Negeri, antara lain berkaitan pelan kerajaan untuk memudah dan mempercepatkan proses mendapatkan status kewarganegaraan untuk golongan berkenaan.
Turut dibangkitkan dalam sesi itu adalah pertanyaan daripada Shaharizukirnain (Shaharizukirnain) Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai status pelaksanaan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) kepada wang tunai selama 75 hari bagi penjawat awam yang berkhidmat selama 15 tahun seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2020.
Usai sesi tersebut, tumpuan dijangka terarah kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan antara dijangka menjadi perhatian adalah soalan daripada M. Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) yang ingin tahu jumlah majikan yang diluluskan di bawah Program Subsidi Upah serta telah menyalurkan subsidi itu tanpa memberhentikan pekerja.
Selain itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pula ingin tahu langkah kerajaan dalam memperkenalkan dasar baharu terhadap pengambilan pekerja asing bagi menghapuskan pendatang tanpa izin.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.
Ia termasuk pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan dan penggunaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter antara tempat duduk Ahli Parlimen semasa persidangan berlangsung seperti yang diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat
#Ganti Cuti Rehat
#kad pengenalan
#Kanak-kanak
#Kelvin Yii Lee Wuen
#kerajaan
#koronavirus
#Kuching
#Parlimen
#pekerja asing
#penjawat awam
#perintah kawalan pergerakan
#SOP
#stateless
#subsidi
#wang tunai
#warganegara