Isu Kampung Baru: Sebahagian bayaran pampasan tambahan sudah diserah - Dr Zaliha

Bernama
Disember 3, 2024 16:20 MYT
Dr Zaliha berkata mahkamah telah memerintahkan 11 permohonan daripada pemilik unit flat itu diberi tambahan bayaran pampasan sebanyak RM18,000 hingga RM24,000 seunit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bayaran pampasan tambahan bagi pengambilan tanah daripada 11 pemilik unit flat di Kampung Sungai Baru di Kampung Bharu di sini dengan nilai keseluruhan berjumlah RM200,000 telah diserahkan kepada pemohon terlibat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata mereka adalah sebahagian daripada 75 pemohon yang mengemukakan Borang N (Permohonan Supaya Bantahan Dirujukkan Kepada Mahkamah), Seksyen 38 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 yang membantah jumlah tawaran pampasan pengambilan tanah oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL).
Dr Zaliha berkata mahkamah telah memerintahkan 11 permohonan daripada pemilik unit flat itu diberi tambahan bayaran pampasan sebanyak RM18,000 hingga RM24,000 seunit berdasarkan perintah penghakiman persetujuan penyelesaian luar mahkamah, manakala baki dua lagi permohonan masih dalam tindakan Jabatan Peguam Negara.
"Jumlah ini adalah tambahan bayaran kepada tawaran pampasan keseluruhan yang ditawarkan JKPTG WPKL kepada pemilik yang berjumlah antara RM244,000 hingga RM356,000.
"Pemohon telah setuju dengan tawaran peningkatan lebih kurang 10 peratus daripada nilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
#Kampung Baru #alih tanah #dr zaliha #bayaran pampasan
;