Isu Kampong Bharu: Bubar pentadbiran MAS perlu menerusi Parlimen - Setiausaha

Hilmi Malik
Jun 21, 2020 17:45 MYT
Setiausaha Kehormat MAS Kampong Bharu, Shamsuri Suradi ketika sidang media di Kampong Bharu
Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) berpendirian untuk meneruskan peranan dan fungsinya dalam menguruskan isu tanah dan penduduk di Kampong Bharu, meskipun didakwa tidak relevan dan perlu dibubarkan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).
Setiausaha Kehormat MAS, Shamsuri Suradi berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan, tanpa sebarang rujukan kepada Parlimen maka dakwaan tersebut secara automatiknya terbatal dan juga tidak berasas.
“MAS tidak dibubarkan jadi sekiranya jika ada pihak yang berhasrat untuk bubarkan MAS, perkara ini perlu dibawa ke Parlimen, jangan cakap tak relevan atau tak berfungsi.
“Kalau ikut kenyataan PKB, kita tak boleh buat bangunan dan sebagainya sedangkan peranan MAS memang begitu dan perkara ini sudah ada dalam akta jadi apa salahnya kita bekerjasama dan kita juga telah jalin kerjasama dengan pihak DBKL atasi pelbagai isu,” katanya pada sidang media di Kampong Bharu pada Ahad.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak PKB menyatakan sebarang perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu merupakan bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tidak boleh terlibat dengan sebarang pengurusan tersebut.
Mengulas menegani isu tanah di Kampong Bharu pihaknya berkata, perkara itu dibincangkan kali terakhir bersama kerajaan terdahulu dan sehingga kini tiada sebarang keputusan dibuat dan masih menantikan proses seterusnya.
#DBKL #Kampong Bharu #Kuala Lumpur #MAS #Parlimen
;