Isu kalimah Allah: Terlalu awal untuk ulas, perbincangan dalaman diperlukan - Zulkifli
Aida Aziz
Mac 11, 2021 15:25 MYT
Mac 11, 2021 15:25 MYT
IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya mengulas berhubung keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama Kristian negara ini.
Ujarnya, perkara itu memerlukan perbincangan dalaman dari semua aspek termasuk undang-undang dan pandangan pelbagai pihak.
"Yang ini saya tunggu dulu, saya mahu bincang dalam masa terdekat ini. Ia melibatkan perbincangan dalaman dulu dan kemudian kita lihat (penyelesaian) yang terbaik.
"Saya kena tengok dari segi semua aspek, dari segi undang-undang, agama kita dan pandangan-pandangan terdahulu dan mutakhir. Semua itu kita akan tengok, Insya-Allah. Terlalu awal saya nak komen," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.
Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.
Terdahulu, media melaporkan Muafakat Nasional (MN) menyatakan keprihatinan yang amat serius ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kalimah-kalimah Islam oleh orang bukan Islam di dalam penerbitan masing-masing.
Sehubungan itu, mesyuarat MN yang berlangsung malam tadi menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman itu ke Mahkamah Rayuan.
#Zulkifli Mohamad Al-Bakri
#Menteri Agama
#Jabatan Perdana Menteri
#isu kalimah Allah
#penerbitan agama kristian
#undang-undang
#pendidikan