Isu kain rentang tidak seharusnya cemarkan kempen PRK Rantau - Streram
Astro Awani
April 6, 2019 13:21 MYT
April 6, 2019 13:21 MYT
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, (PH), Dr. S.Streram menganggap tindakan menggantung kain rentang yang berunsur provokasi terhadap dirinya di beberapa lokasi di sekitar Rantau adalah satu provokasi yang tidak harus ada dalam proses berkempen.
Jelasnya, sehingga kini dalang yang bertanggungjawab masih tidak diketahui.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat bagi mengelakkan kempen kotor seperti itu tidak mencemari PRK Rantau.
“Kita tidak tahu pihak yang pasang, tapi itu satu provokasi. Kita tidak akan buat macam itu. Kita selalu berkata kepada jentera dan juga kepada lawan iaitu kita bertanding secara persahabatan dan secara harmoni dan kita tidak hendak ada fitnah, provokasi.
“Jentera kita dimaklumkan jangan buat apa-apa provokasi. Ini satu fitnah dan satu provokasi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Susulan itu satu laporan polis mengenai perkara itu telah dibuat di Balai Polis Rantau sekitar 9.45 pagi tadi.
Kain rentang yang menggunakan bahasa Minang yang berbaur perkauman itu digantung di hadapan bilik gerakan utama PH di Bandar Ekar dan juga Pasar Rantau.
#Barisan Nasional
#berbaur perkauman
#BN
#calon
#Dr S Streram
#fitnah
#kain rentang
#Pakatan Harapan
#PH
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#prk rantau