Isu kain rentang: Polis minta 'Kagawa Onieshia' tampil bantu siasatan
Bernama
Februari 3, 2015 20:24 MYT
Februari 3, 2015 20:24 MYT
Pihak polis meminta seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama 'Kagawa Onieshia' supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membantu siasatan berhubung komen berbaur lucah dan kesat ke atas Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut susulan laporan yang dibuat tujuh pihak semalam termasuk enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat sengaja mengaibkan bertujuan untuk memecahbelahkan keamanan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata perkara itu juga sudah dimaklum kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti individu terbabit.
Semalam enam NGO dan wakil istana membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pengguna Facebook yang menggunakan perkataan kesat dan lucah terhadap Tunku Azizah.
Laman Facebook 'Kagawa Onieshia' yang dipercayai telah ditutup baru-baru ini. - Paparan skrin Laman Facebook
Perkara itu dilakukan susulan ulasan baginda mengenai tindakan peminat bola sepak Johor yang mempamerkan kain rentang (tifo) yang tertera gambar manusia berkepala anjing yang dipercayai ditujukan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semasa aksi Piala Sumbangsih antara pasukan Johor Darul Takzim dan Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu Sabtu lalu.