Isu kadar gaji polis, penggunaan teknologi solar antara tumpuan Dewan Rakyat

Astro Awani
Mac 5, 2024 07:30 MYT
Menurut aturan mesyuarat, perkara itu akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab lisan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu kadar gaji baharu anggota polis, status bantuan kerajaan persekutuan Sabah dan penggunaan teknologi solar, antara isu yang dibangkitan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan mesyuarat, perkara itu akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab lisan.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan apakah kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan kadar gaji
baharu untuk anggota polis.
Ini memandangkan kadar gaji terkini tidak kompetitif dengan keadaan ekonomi semasa dan tidak sepadan dengan tanggungjawab dan peranan anggota polis menjaga keselamatan negara.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan meminta kerajaan menyatakan status bantuan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Sabah.
Ini melibatkan penyelesaian jangka pendek masalah air di negeri Sabah seperti yang diumumkan sebanyak RM320.25 juta (jangka pendek) dan apakah jangkaan bantuan jangka panjang mengatasi masalah bekalan air di negeri Sabah.
Selain itu, penggunaan teknologi solar di Malaysia juga bakal jadi tumpuan dalam sesi soal jawab lisan.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan status terkini penggunaan teknologi solar di Malaysia khususnya bagi penggunaan domestik, serta apakah langkah kerajaan untuk menurunkan harga pemasangan solar bagi rakyat yang tidak berkemampuan.
Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan Perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.
Manakala, pembentangan serta pembahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hinga 27 Mac.
#Dewan Rakyat #gaji polis #teknologi solar #bantuan kerajaan
;