Isu jurang gaji siswazah antara jantina perlu ditangani - Nancy
Bernama
Januari 22, 2025 19:30 MYT
Januari 22, 2025 19:30 MYT
PUTRAJAYA: Langkah segera perlu diambil untuk menangani jurang gaji antara siswazah wanita dengan lelaki di Malaysia, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Ringkasan AI
- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, menyeru tindakan segera untuk atasi jurang gaji RM900 antara siswazah wanita dan lelaki walaupun kelayakan akademik setara.
- Kerajaan memperkenalkan usaha memperkasa wanita, termasuk melahirkan pemimpin wanita muda melalui Program PERANTIS.
- Nancy mengajak semua pihak mempromosikan kesaksamaan jantina menjelang Hari Wanita Antarabangsa 2025.
Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan siswazah wanita dan lelaki kini memiliki kelayakan akademik yang setaraf.
"Kita perlu menyuarakan isu ini kerana sepatutnya tidak ada jurang, terutama sekali kalau kelayakan wanita itu sama dengan lelaki. Jadi, apa perbezaannya?" katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo dan tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Statistik Siswazah 2023 dikeluarkan Jabatan Perangkaan yang menyatakan siswazah wanita secara purata mendapat gaji RM900 lebih rendah berbanding lelaki, meskipun memiliki kelayakan akademik setara.
Mengulas lanjut, Nancy berkata wanita sering menghadapi cabaran tambahan, seperti tanggungjawab menjaga anak dan orang tua, namun perkara ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk memandang rendah terhadap mereka.
"Wanita ini kadang-kadang bekerja sebab mereka ada tanggungjawab tersendiri. Oleh itu, mereka tidak seharusnya dipandang rendah, terutama sekali dari segi pendapatan. Jika kelayakan mereka setara dengan lelaki, maka pendapatan juga sepatutnya sama," katanya.
Nancy berkata kerajaan akan meneliti dasar-dasar berkaitan bagi memastikan diskriminasi serta keganasan terhadap wanita dapat dikurangkan.
Selain isu gaji, Nancy turut menyentuh usaha kementeriannya dalam memperkasakan wanita melalui pelbagai program, termasuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita muda menerusi Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS).
"Kita perlu lebih ramai pemimpin wanita muda dalam negara ini. Tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM5 juta untuk melahirkan 100 PERANTIS wanita. Harapan saya, mereka dapat terlibat dalam pelbagai bidang, termasuk politik," katanya.
Nancy menyeru semua pihak untuk berganding bahu dalam mempromosikan kesaksamaan jantina di Malaysia, terutama menjelang sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac ini.
"Ia merupakan platform untuk kita meraikan pencapaian wanita dan menggerakkan usaha ke arah kesaksamaan yang lebih baik. Kita tidak mahu wanita kita disekat, sebaliknya diperkasakan untuk menjadi pemimpin dan pembuat keputusan," katanya.
Nancy hari ini melancarkan tema Hari Wanita Antarabangsa 2025, iaitu "Wanita Beraspirasi Membina Legasi", yang melambangkan usaha mengangkat wanita untuk mencipta perubahan yang berkekalan.
Hari Wanita Antarabangsa mula disambut pada 8 Mac 1975 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian daripada Tahun Wanita Antarabangsa. Di Malaysia, kali pertama sambutan dianjurkan pada 1983.
-- BERNAMA