Isu jual bayi: JPN tidak kompromi pengeluaran dokumen tidak teratur

Astro Awani
November 27, 2016 13:18 MYT
Jabatan itu juga akan mengambil beberapa tindakan susulan bagi mengatasi pendaftaran kelahiran yang tidak teratur.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengambil tindakan tegas sekiranya kakitangannya terlibat dalam pengeluaran dokumen secara tidak teratur.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Mohd Yazid Ramli dalam satu kenyataan berkata, tindakan akan diambil sekiranya dakwaan tersebut didapati benar.
“Ingin ditegaskan Jabatan ini tidak akan berkompromi sekiranya terdapat penglibatan kakitangan JPN dalam pengeluaran dokumen secara tidak teratur,” katanya.
Mohd Yazid juga memaklumkan JPN mendaftarkan setiap kelahiran bayi tanpa prejudis dan tanpa mengira status kanak-kanak tersebut.
Permohonan itu boleh diterima dan diproses untuk pengeluaran sijil kelahiran, sekiranya syarat-syarat permohonan telah dipenuhi dan dokumen yang dikemukakan semasa permohonan adalah teratur dan lengkap.
“Sekiranya berlaku penipuan, pemalsuan atau memberikan maklumat- maklumat yang tidak betul bagi pendaftaran kelahiran tersebut, maka individu tersebut boleh didakwa di bawah Akta Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
“Dan jika sabit kesalahan maka ia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan penjara atau denda maksimum RM2,000 atau kedua - duanya sekali,” katanya.
Jabatan itu juga akan mengambil beberapa tindakan susulan bagi mengatasi pendaftaran kelahiran yang tidak teratur.
Katanya lagi, melalui maklumat- maklumat yang diperolehi, JPN akan mengambil tindakan yang berikut bagi mengatasi pendaftaran kelahiran yang tidak teratur :
i. Menyemak semula kedudukan pendaftaran kelahiran yang terlibat dan dipastikan ketepatan pendaftaran tersebut.
ii. Sijil kelahiran yang telah dikeluarkan akan disenaraihitamkan.
iii. Menjalankan siasatan dalaman.
iv. Mengesan klinik - klinik yang terlibat.
v. Melaporkan kepada pihak PDRM untuk tindakan perundangan.
#bayi #JPN #Ketua Pengarah Pendaftaran Negara #Mohd Yazid Ramli
;