Isu jet: 'Rafizi pamer kebodohan diri sendiri' - Syed Ali
Astro Awani
Jun 9, 2016 18:29 MYT
Jun 9, 2016 18:29 MYT
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sengaja mempamerkan sikap kurang bijak apabila sengaja mencari isu provokasi jet peribadi yang melibatkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, Rafizi seperti menunjukkan sikap kebodohannya apabila tidak dapat membezakan keperluan pemimpin atas urusan rasmi membabitkan kepentingan negara.
"Rafizi kurang cerdik, wakil rakyat yang memahami tanggungjawab dan amanahnya kepada rakyat akan memberi tumpuan dan bekerja keras bagi menjaga dan memenuhi kepentingan pengundi yang diwakili.
"Wakil rakyat yang berhemah akan bekerja 100 peratus untuk kepentingan rakyat di kawasan mereka, bukannya sibuk menabur fitnah dan adu domba.
"Saya nasihatkan Rafizi supaya 'kembali' ke kawasan (Pandan) dan membantu rakyat setempat daripada bersusah payah menabur fitnah untuk burukkan pemimpin UMNO," katanya dalam catatan terbaharu di dalam blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Sebelum ini, Rafizi menuduh Rosmah menggunakan pesawat peribadi untuk menghadiri satu majlis di Istanbul, Turki pada 27 Mei lalu.
Rafizi turut mempersoalkan tindakan isteri Perdana Menteri menggunakan jet peribadi untuk menerima ‘Anugerah Kebajikan Kanak-kanak 3G’ bagi pihak Permata.
Dua majlis penting
Menurut Syed Ali, Rafizi sepatutnya sedia maklum bahawa isteri Perdana Menteri pada masa yang sama terpaksa menghadiri satu lagi majlis penting di ibu negara membabitkan kehadiran Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
"Rosmah dikatakan terpaksa menempuh perjalanan hampir 13 jam ke Istanbul untuk menerima anugerah dan menyampaikan ucapan. Selepas itu terpaksa bergegas pulang selepas majlis tersebut.
"Jadi, apa masalahnya kepada Rafizi jika isteri Perdana Menteri menggunakan pesawat peribadi kerana masa yang terlalu padat, lagi pun kedua majlis tersebut penting bagi negara," tegasnya.
Syed Ali turut kesal kerana tabiat buruk Rafizi yang suka memfitnah untuk memburukkan peribadi dan maruah seseorang terutama membabitkan pemimpin negara.
"Bila lagi dia hendak berubah laku, perbetulkanlah sikap dan berhentilah membuat kerja fitnah, sebaliknya tumpukanlah kepada kawasan (Pandan) selaku wakil rakyat," jelasnya.
Pesawat gantian
Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga telah menjelaskan bahawa pesawat peribadi itu bukannya disewa khas untuk kegunaan Rosmah semata-mata.
"Pesawat ACJ319 No Pendaftaran A6-CJE adalah pesawat gantian yang disewa oleh kerajaan Malaysia bagi kegunaan kenamaan-kenamaan negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong dan kenamaan lain.
"Kerajaan menyewa pesawat itu selama dua bulan sebagai gantian kepada pesawat ACJ320 yang kini dalam tempoh penyelenggaraan.
"Pesawat tersebut adalah pesawat gantian kerajaan maka atas sebab itu penerbangan ini menggunakan Pangkalan Udara Subang. Rosmah adalah isteri Perdana Menteri Malaysia dan kedudukannya dari segi protokol adalah layak," jelas PMO.
Sehubungan itu tegas Syed Ali, tindakan Rafizi menjadi bertambah buruk, apabila usaha mencari kesilapan orang lain ditambah pula dengan provokasi supaya ramai turut mempercayai pembohongan tersebut.
"Inilah tabiat buruk Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR yang tidak habis-habis melemparkan fitnah terhadap Rosmah dengan pelbagai tuduhan karut dan tidak berasas.
"Apabila kerjanya hanya untuk memburukkan pemimpin negara dengan fitnah, akhirnya rakyat dapat melihat betapa bodohnya perlakuan Rafizi sehingga tidak dapat menilai makna kebenaran.
"Rafizi selongkar fitnah Najib dan isteri, kemudian sebar menerusi media sosial, perbuatan itu amat terkutuk kerana sengaja membuka aib orang lain dengan niat jahat," katanya.