Isu Jalan Gerik-Jeli tidak selamat sudah dibangkit dalam mesyuarat - MB Perak
Aida Aziz
Mei 15, 2022 09:45 MYT
Mei 15, 2022 09:45 MYT
IPOH: Kerajaan negeri sedar dan peka dengan keadaan jalan raya yang dikatakan sangat teruk serta kurang memuaskan di laluan Jalan Gerik-Jeli selama ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau sendiri telah membangkitkan isu jalan berkenaan dalam mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri bersama-sama Perdana Menteri, pada Februari lalu.
Bagaimanapun, katanya, Jalan Gerik-Jeli tertakluk di bawah jalan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.
"Kita (kerajaan negeri) menyedarinya (jalan raya rosak, berlubang). Dalam mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri bersama-sama Perdana Menteri saya sudah bangkitkannya (isu tersebut).
"Sebab itu adalah jalan persekutuan, jadi peruntukan untuk penyelenggaraan disediakan oleh kerajaan Persekutuan.
"Kalau ikut janji dalam perjumpaan itu memang sudah diambil kira dan akan ada peruntukan untuk membaiki dan selenggara jalan berkenaan dari Gerik ke Jeli," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Perasmian Projek Ipoh Heritage Tourism (IHT), di Padang Ipoh di sini, pada Sabtu malam.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan berkata beliau turut menerima maklum balas dan rungutan pengguna jalan raya, termasuk kes kemalangan di lokasi terbabit.
Dalam pada itu, Saarani turut memberi pencerahan berhubung status jalan tersebut yang sebelum ini disalah tafsir sebagai jalan negeri.
"Kita ada dua jenis (jalan) satu jalan persekutuan dan jalan negeri. Ia melibatkan perlembagaan, wang untuk negeri kita akan guna untuk jalan negeri.
"Jadi itu peruntukan untuk jalan persekutuan. Kita tidak boleh mencampuri begitu, sama juga wang persekutuan tidak boleh mencampuri jalan negeri. Itu dalam Perlembagaan Negara.
"Tapi kita sentiasa 'follow up' (isu Jalan Gerik-Jeli). Sebab orang ramai tidak tahu mana satu jalan negeri dan jalan persekutuan, kita saja tahu," katanya lagi.
Sebelum ini, terdapat banyak rungutan daripada pengguna jalan raya berhubung Jalan Gerik-Jeli yang dikatakan begitu teruk dan berisiko kepada keselamatan orang ramai.
Difahamkan salah satu punca terjadinya kecelakaan selain kecuaian pemandu adalah disebabkan keadaan jalan raya yang tidak selamat seperti turapan tar tidak rata atau berlubang dan bertampal-tampal.
Malah, netizen di media sosial meluahkan rasa tidak puas hati memandangkan isu tersebut sudah berlarutan sekian lama, dan tiada sebarang tindakan diambil.