Isu isytihar harta: Wujudkan badan bebas nilai harta individu - Syed Ali
Wan Syamsul Amly
Mac 11, 2015 12:32 MYT
Mac 11, 2015 12:32 MYT
Kerajaan disaran mewujudkan badan khas untuk mencari mekanisme pengisytiharan harta yang lebih telus dan lebih sistematik.
Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, ia sekali gus menyakinkan masyarakat terhadap sebarang pengumuman pengisytiharan harta yang akan dibuat oleh mana-mana individu di negara ini.
"Tidak ada masalah untuk sesiapa mengisytiharkan harta namun apakah ianya telus, betulkah ia tidak menyembunyikan apa-apa fakta atau sengaja dibuat untuk 'melepaskan diri'?
"Badan bebas ini harus menyiasat setiap harta yang ada, apakah pengisytiharan itu sahih atau ada lagi harta yang disembunyikan di atas nama isteri, anak-anak atau saudara mara?" katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Syed Ali mengulas pengisytiharan harta oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli bagi menyambut baik cabaran pemimpin UMNO.
Rafizi turut meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan perkara yang sama yang dikatakan boleh membersihkan namanya yang dikaitkan dengan kemewahan yang dikatakan tidak berpadanan dengan gaji.
Jelas Syed Ali, pengisytiharan yang dilakukan Rafizi juga masih diragui selagi belum ada pihak bebas yang mengesahkannya.
"Apa kerja dia sehingga dapat 'mengutip' harta sebanyak itu adn apakah itu sahaja kekayaan yang ada, siapa boleh pantau berapa nilai sebenar harta yang Rafizi ada?
"Semua orang boleh isytihar sebegitu, itu yang dia beritahu, yang Rafizi tidak beritahu pula bagaimana?" tegasnya.
Ketika ditanya gesaan Rafizi yang meminta Najib mengisytihar harta, ini kata Syed Ali: "Itu hal dia dengan Najib, gesaan saya adalah minta Rafizi isytihar harta dan dia isytihar harta dengan menimbulkan lebih banyak persoalan kesahihan jumlah harta yang ada kepada masyarakat."
Pada Selasa, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mempersoalkan gesaan Rafizi yang meminta Najib untuk untuk mengisytihar harta.
Jelas Idris, pengisytiharan harta bukan untuk orang awam selain ia akan melibat banyak isu keselamatan.