Isu ISIL dan MH17 tumpuan utama perbahasan Perhimpunan Agung PBB
Bernama
September 21, 2014 07:17 MYT
September 21, 2014 07:17 MYT
Dua isu mengenai kekejaman yang dilakukan oleh Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) dan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine akan menjadi tumpuan utama
perbahasan pada sesi ke-69 Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba di sini pada 7.30 malam (7.30 pagi Ahad di Malaysia) mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan itu.
Insiden MH17 sekali gus akan mengalihkan perhatian kepada konflik Rusia-Ukraine dan ancaman yang ditimbulkan oleh puak pemisah yang disokong oleh Rusia di timur Ukraine.
Kedua-dua isu itu dibangkitkan pada Jumaat oleh Menteri Luar Australia Julie Bishop semasa perbahasan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) peringkat menteri mengenai Iraq, yang dipengerusikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry. (Pada hari itu juga, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berucap di UNSC).
Australia 'secara aktif terlibat' dalam kedua-dua isu seperti diberitahu oleh seorang pegawai Australia kepada Bernama yang tidak mahu namanya didedahkan. Malah, Bishop berkata tindakan ISIL menimbulkan ancaman bukan sahaja kepada Australia tetapi juga Asia Tenggara dan rantau lain.