Isu integriti pegawai kanan: MARA akan beri kerjasama penuh kepada SPRM
Madiha Abdullah
Februari 7, 2022 18:39 MYT
Februari 7, 2022 18:39 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan serbuan yang dilakukan ke atas premis pejabat MARA, MARA Corporation dan pejabat Setiausaha Syarikat kepada MARA Corporation, hari ini.
Jaminan itu diberikan Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun yang memaklumkan mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan.
"Pengurusan MARA dan MARA Corp sedia memberikan kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kes ini untuk siasatan pihak SPRM.
"MARA sentiasa komited dalam memastikan integriti organisasi ini terpelihara dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi, lebih 10 pegawai SPRM dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya menyerbu pejabat MARA di di Jalan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang bagi mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan isu integriti pegawai kanan agensi terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM akan menjalankan siasatan berhubung isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA bermula 7 Februari ini.
Pada Jumaat lalu, sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi MARA tular di Twitter.
Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai MARA.
Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif MARA Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi MARA.