Isu imam tarawih: Utamakan imam dari Kedah - Exco agama
Astro Awani
Mei 4, 2019 19:23 MYT
Mei 4, 2019 19:23 MYT
Tidak salah menggunakan imam dari luar negara bagi mengetuai solat tarawih yang diadakan sepanjang bulan Ramadan ini.
Bagaimanapun, pihak jawatankuasa masjid harus mendahulukan anak tempatan, terutamanya dalam kalangan ustaz dan hafiz Al Quran dari Kedah, yang berkemampuan mengendalikan solat tarawih dengan baik.
Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, yang mengulas berkenaan larangan penggunaan imam tarawih dari luar negara di negeri Perak.
Jelasnya, beliau tidak menghalang penggunaan imam dari luar negara jika wujud kelompongan dan kekurangan imam atau dengan tujuan menarik lebih ramai jemaah untuk ke masjid.
Tambahnya, di Kedah, tidak pernah wujud sebarang akta atau peraturan seperti larangan yang dikeluarkan di Perak itu.
"Kita belum ada dasar apa-apa. Tetapi, kita ada banyak sekolah pondok dan tahfiz, anak-anak kita di sana juga mampu untuk menjadi imam. Mereka ini juga layak.
"Jadi, saya kira, keutamaan ialah untuk kita menggunakan imam-imam kita. Itu yang lebih aula, lebih baik," kata Ismail ketika merasmikan Program Pasar Percuma Ambang Ramadhan untuk golongan asnaf di Kampung Bendang Raja, di sini, hari ini.
Pada Jumaat, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menjelaskan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menitahkan supaya kesemua surau dan masjid di dalam negeri itu tidak menggunakan khidmat imam dari luar negara bagi mengetuai solat tarawih sepanjang Ramadan ini.