Isu ICERD: 'Sekurang-kurangnya kita tinggal dunia lebih baik untuk anak cucu'
Luqman Hariz
Disember 10, 2018 22:23 MYT
Disember 10, 2018 22:23 MYT
Kontroversi dan keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD baru-baru ini tidak menghentikan kemajuan Malaysia dalam menegakkan hak asasi manusia.
Pengerusi Ahli Lembaga Tadbir Amnesty International Malaysia, Dr Anjhula Mya Singh Bais berkata Malaysia berada di landasan yang betul.
“Walau dengan hanya sekadar setuju untuk lihat isu ini (hak sama rata kepada semua), mengetengahkannya, mengadakan dialog, itu sebahagian daripada proses,” katanya sambil menambah Malaysia sudah meratifikasi tiga daripada sembilan perjanjian Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan hak asasi manusia.
“Kita hampir di situ. Sudah tentu, ada beza antara meratifikasi sesuatu konvensyen, meluluskannya secara undang-undang, dan melaksanakannya.
“Sekurang-kurang sekarang, kita sudah bangkitkan kesedaran,” katanya.
Perhimpunan kesyukuran menolak ratifikasi ICERD Sabtu lalu menyaksikan kira-kira 55,000 peserta.
Pada Isnin, Persatuan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan SUHAKAM sebagai angkuh kerana mahu terus menasihat kerajaan untuk meratifikasi ICERD.
UMMAH turut menggesa SUHAKAM dibubarkan sekiranya ia berniat memecahbelahkan rakyat.
Sementara itu Dr Anjhula turut ditanya sama ada perjanjian dan konvensyen PBB benar-benar berkesan dalam memastikan negara yang menandatangani menegakkan hak asasi manusia dan hak sama rata antara semua.
Arab Saudi sebagai contoh, antara negara yang meratifikasi ICERD tetapi Putera Mahkotanya Mohammed Bin Salman kini dituduh memainkan peranan penting dalam pembunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi.
Manakala Filipina, antara negara terawal yang menandatangani Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) pada 1948, kini menjalankan perang habis-habisan terhadap dadah yang mencatatkan bilangan korban tinggi yang sering dikritik sebagai melanggar hak asasi manusia.
“Sudah tentu (deklarasi dan konvensyen) PBB tidak sempurna dan kadang-kala lambat untuk kemajuan berlaku. Tetapi apa yang penting adalah kita tinggalkan dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang.
“Tanpa PBB, di mana dunia sekarang ini?,” soalnya.
Anjhula menambah jika sesuatu negara menandatangani konvensyen PBB, ia disifatkan sebagai langkah pertama untuk mendorong mereka mematuhi apa yang ditandatangani.
Beliau turut mendakwa norma, budaya dan agama tidak menghalang Malaysia menerima UDHR sepenuhnya atau meratifikasi ICERD.
“Setiap budaya dan agama sentiasa memperjuangkan maruah dan penghormatan kepada semua manusia. Kedua perkara ini (agama dan hak sama rata) tidak bercanggah dengan satu sama lain,” katanya.
Konvensyen dan perjanjian PBB sebelum ini kadang kala dikritik kerana memakai model “pukul rata” – dirangka berdasarkan model Eropah tetapi diharap diterima oleh semua negara dunia.
Anjhula ditanya sama ada ianya adil untuk menuntut semua negara, termasuk Malaysia, menerima semua perjanjian PBB dengan keterbukaan yang sama dengan negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat.
“Sudah tentu. Jika kita buat kajian di lapangan, lihat laporan akademik, semua orang berhak dilayan sama rata dengan bermaruah.
“(Perjanjian-perjanjian PBB) sangat luas, sangat inklusif, sangat fleksibel.
“Penentangan terhadap ICERD baru-baru ini adalah kerana sesetengah pihak takut hak mereka akan hilang. Tetapi jika kita lihat gambaran yang lebih besar, semua pihak akan dapat manfaat jika kita terima pakai perjanjian-perjanjian PBB,” katanya.