Isu hudud tidak akan pecah-belahkan Pakatan Rakyat, kata Khalid Samad

T K Letchumy Tamboo
April 3, 2014 18:26 MYT
Khalid Samad - Gambar Fail
Hasrat kerajaan negeri Kelantan mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian ke Parlimen untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah (2) 1993 yang tertangguh sejak 21 tahun lalu tidak akan menghancurkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad.
Beliau yakin isu pelaksanaan undang-undang jenayah Islam itu tidak mungkin akan memecah-belahkan Pakatan Rakyat kerana ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi melibatkan suara rakyat.
“Orang Kelantan telah memilih (PAS sebagai) kerajaan Kelantan untuk 23 tahun berturut-turut. Rakyat Kelantan berhasrat untuk Hukum Hudud dilaksanakan di negeri itu,” katanya.
Jelas beliau, undang-undang itu juga hanyalah untuk orang Islam dan tidak akan dikenakan ke atas orang bukan Islam.
Bagaimanapun Khalid berpendapat hasrat kerajaan negeri Kelantan itu wajar dibincangkan di peringkat Pakatan Rakyat.
“Ini adalah sesuatu yang harus dibincangkan oleh Pakatan Rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid mempertahankan kerajaan negeri Kelantan yang baginya hanya menyahut cabaran kerajaan Persekutuan dengan memilih untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam hudud dan qisas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom semasa menggulung usul titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat minggu lalu berkata kerajaan pusat sedia menyokong mana-mana negeri yang mahu menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam dengan membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen.
Mesyuarat exco kerajaan negeri Kelantan pada Rabu kemudiannya meluluskan ketetapan menyiapkan dua rang undang-undang persendirian untuk dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi bagi membuka jalan ke arah pelaksanaan undang-undang jenayah Islam hudud dan qisas di negeri itu selewat-lewatnya pada tahun depan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob berkata keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri itu adalah sebagai menyambut baik kenyataan Jamil Khir.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid daripada Parti keadilan Rakyat (PKR) berkata kerajaan Persekutuan harus menghormati hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam hudud dan qisas.
“Pihak Kelantan sudah bersetuju untuk melaksanakan hudud dan kerajaan Persekutuan harus memberikan kebenaran untuk (mereka) melaksanakannya.
“Sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju dengan pelaksanaan Hukum Hudud tetapi Kelantan gagal mengurangkan masalah sosial dan jenayah, maka, ia kena kembali ke hukum asal,” katanya, sambil menambah beliau tidak nampak kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Hukum Hudud.
#hudud #Kelantan #Khalid Samad #Pakatan Rakyat
;