Isu Hudud: Kenapa PAS buat DAP dan PKR macam ini? - Ambiga
Wan Syamsul Amly
Mac 18, 2015 21:45 MYT
Mac 18, 2015 21:45 MYT
Pembentangan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mengandungi hukum hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan merupakan pengkhianatan terbesar PAS terhadap kesetiaan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) selama ini.
Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, PAS sekali gus dianggap melanggar muafakat PR yang dibina selama ini.
"Saya ada ramai kawan-kawan di dalam PAS, apa yang dilakukan hari ini menjadikan kepercayaan kepada mereka semakin pudar.
"Mereka tidak seharusnya membentangkan rang undang-undang seperti itu di Dewan Undangan Negeri hari ini tanpa perbincangan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Ambiga mengulas pembentangan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mengandungi hukum hudud di persidangan DUN Kelantan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini.
Rang Undang-undang setebal 47 muka surat itu dibentangkan oleh Ahmad pada jam 11 pagi tadi dan turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, perbahasan pindaaan enakmen tersebut ditangguhkan hingga ke pagi Khamis.
Ambiga menambah, hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Dengan mengambil contoh laporan kertas kerja Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2014 yang menyatakan orang bukan Islam tertakluk kepada undang-undang Syariah dan semua undang-undang perlu diharmonikan dengan prinsip-prinsip Islam, Ambiga melihat tiada jaminan kepada orang bukan Islam dalam pelaksanan hukum berkenaan.
"Mereka kata orang bukan Islam tidak akan dikenakan hudud tetapi apa jaminan ia tidak berlaku?" jelasnya.