Isu HSA: Kementerian akan hantar surat kepada Singapura - Dr Subramaniam
Bernama
September 2, 2017 14:26 MYT
September 2, 2017 14:26 MYT
Kementerian Kesihatan akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Singapura bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung penyiaran berita tanpa fakta sebenar mengenai perkhidmatan kesihatan dan warga perubatan negara ini oleh sebuah portal berita di republik itu.
Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata surat itu akan dihantar dalam masa terdekat selepas pihaknya berbincang dengan bahagian perundangan kementerian dan Kementerian Luar.
"Surat kepada kerajaan Singapura itu (akan) menyatakan mengenai perasaan dan pandangan kita terhadap apa yang dilakukan portal terbabit.
"Selepas itu terpulang kepada kerajaan Singapura mengenai apa yang perlu dilakukan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis peletakan batu asas pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Nyior, di Sri Lalang, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan dan Pengerusi MIC Johor Datuk M. Asojan.
Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC mengulas laporan oleh portal berita The Independent yang menyebut ambulans Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru lewat memberikan respons sehingga 30 minit terhadap laporan kemalangan membabitkan seorang rakyat Singapura pada 25 Ogos lepas.
Artikel itu mendakwa kelewatan itu menjejaskan usaha untuk membawa mangsa berusia 25 tahun berkenaan mendapatkan rawatan di hospital pada kadar segera.
Laporan juga mendakwa pihak HSA menuntut sejumlah wang deposit daripada keluarga mangsa sebelum membenarkan sebarang rawatan dijalankan.
Dr Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat turut mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab portal tersebut kerana segala yang dilaporkan portal berkenaan adalah suatu yang tidak berasas.
"Perkara pokoknya, ambulans sudah dihantar serta-merta.
"Tuduhan menyatakan kakitangan hospital enggan membuat rawatan jika bayaran tidak dibuat juga tidak berasas berikutan rawatan kecemasan sudah diberikan kepada mangsa sebelum ketibaan waris dan anggota keluarga dari Singapura," katanya.
Beliau juga menegaskan masalah komunikasi yang timbul ekoran kakitangan hospital yang berbahasa Melayu tidak boleh dijadikan alasan kerana mana-mana hospital di dunia menggunakan bahasa ibunda.
Ditanya sama ada kementeriannya akan menuntut permohonan maaf daripada The Independent, Dr Subramaniam berkata aspek itu akan dicadangkan dalam surat rasmi terbabit.
--BERNAMA
#Ambulans
#Hospital Sultanah Aminah
#kakitangan hospital
#Kementerian Kesihatan
#Kementerian Luar
#masalah komunikasi
#portal berita
#S Subramaniam
#Singapura
#surat rasmi
#The Independent
#wang deposit