Isu HRD Corp: SPRM rakam keterangan 10 individu

Bernama
Julai 11, 2024 13:54 MYT
Hishamuddin ketika dihubungi berkata kesemua individu itu terdiri daripada petugas HRD Corp dan KESUMA. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Seramai 10 individu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi membantu siasatan isu tadbir urus Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata kesemua individu itu terdiri daripada petugas HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Terdahulu, media melaporkan pegawai penyiasat SPRM telah mengambil dokumen dari pejabat HRD Corp di Kuala Lumpur dan KESUMA di sini dalam minggu ini bagi mendapatkan dokumen diperlukan untuk membantu siasatan.
Hishamuddin dilapor berkata fokus siasatan tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024, terdapat tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.
-- BERNAMA
#HRD Corp #SPRM #pelaburan #LKAN