Isu HRD Corp: SPRM mula rekod keterangan individu minggu depan

Sinar Harian
Julai 6, 2024 17:07 MYT
SPRM dijangka akan memanggil pihak berkaitan untuk dirakam keterangan berhubung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), pada minggu depan. Gambar kecil: Hishamuddin
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan memanggil pihak berkaitan untuk dirakam keterangan berhubung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), pada minggu depan.
Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini pihaknya masih meneliti dokumen yang diperoleh.
"Pihak kami (SPRM) sedang mengkaji dokumen-dokumen yang diserahkan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
"Rakaman percakapan akan dibuat selepas ini, kemungkinan minggu depan akan mula memanggil pihak-pihak berkaitan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis, mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.
Berikutan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM selaras dengan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Steven Sim menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

SPRM juga akan meneliti keseluruhan dokumen bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009. -Sinar Harian

#SPRM #HRD Corp #Laporan Ketua Audit Negara #Hishamuddin Hashim
;