Isu hina Raja Permaisuri Agong, Fahmi Reza direman sehari

Afiezy Azaman
April 24, 2021 13:09 MYT
Aktivis dan Pereka Grafik, Fahmi Reza direman sehari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza direman sehari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, pada Sabtu.
"Majistret telah membenarkan reman sehari sahaja (Sabtu) ke atas Fahmi Reza," katanya.
Pada Jumaat, Fahmi Reza atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin ditahan di sebuah lokasi di ibu negara oleh sepasukan anggota JSJ Bukit Aman.
BACA: Kes hina Permaisuri Agong: Fahmi Reza ditahan polis
Penahanan itu susulan satu laporan polis berkaitan satu hantaran menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang dikatakan menghina Raja Permaisuri Agong.
Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#Fahmi Reza #Raja Permaisuri Agong #Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #Datuk Huzir Mohamed #Bukit Aman #akta hasutan
;