Isu hina institusi beraja: Polis rekod keterangan Nazri Aziz

Bernama
Jun 23, 2015 21:22 MYT
Beberapa laporan polis dibuat orang ramai terhadap Mohamed Nazri (gambar) selepas kenyataannya terhadap komen Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dikatakan menghina institusi beraja.
Polis merekodkan keterangan daripada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz selepas beberapa laporan polis dibuat terhadapnya, yang dikatakan membuat kenyataan menghina institusi beraja.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Mohamed Nazri berbuat demikian minggu lepas.
"Kita akan memajukan kertas siasatan kepada pihak Peguam Negara pada bila-bila masa," katanya dalam sidang media selepas melancarkan filem "Bukit Kepong" versi digital definisi tinggi di sini, hari ini.
Beberapa laporan polis dibuat orang ramai terhadap Mohamed Nazri selepas kenyataannya terhadap komen Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikatakan menghina institusi beraja.
BACA: 'Saya pertahankan Najib, saya pula yang kena panggil' - Nazri Aziz
BACA: Polis akan siasat Nazri Aziz di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan - KPN
Sebelum ini, Tunku Ismail memuat naik komen pada status di laman Facebook Johor Southern Tigers berhubung dialog 'Nothing2Hide' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang tidak dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas faktor keselamatan.
Mohamed Nazri yang juga anggota Parlimen Padang Rengas turut dilaporkan sebagai berkata beliau masih menghormati sistem raja berperlembagaan yang telah sebati dalam hatinya sejak sekian lama dan masih mempunyai pegangan agama yang kuat.
BACA: Jauhkan diri dari politik, tegas Nazri kepada TMJ
BACA: Tun M tiada hak berdebat dengan Najib kerana dia hanya rakyat biasa - Nazri Aziz
Terdahulu, Khalid menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Polis Diraja Malaysia dan Syarikat KRU yang bertujuan menyalurkan sebahagian kutipan tayangan amal, perdana dan awam filem "Bukit Kepong" bagi mengisi Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia.
Filem yang pernah memenangi tujuh anugerah di Festival Filem Malaysia ketiga itu ditayangkan buat pertama kali pada 1981.
Selepas membuat kerja-kerja "digital remastering" filem yang sama berkisarkan peristiwa Bukit Kepong pada 1950 akan ditayangkan semula dalam versi definisi tinggi di pawagam dan tayangan awam pada bulan Kemerdekaan.
Dalam kejadian pada 23 Feb 1950, kira-kira pukul 5 pagi, Balai Polis Bukit Kepong dekat Pagoh, Johor diserang segerombolan 200 pengganas komunis semasa darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.
Serangan pengganas komunis itu telah mengorbankan 14 anggota polis, empat isteri anggota polis, seorang anak polis dan enam polis bantuan (AP).
##nothing2hide #Khalid Abu Bakar #Nazri Aziz #TMJ #Tunku Ismail
;