Isu Harith Iskander, Cecilia: Polis akan hantar kertas siasatan ke DPP secepat mungkin - KPN

Firdaus Azil
Februari 4, 2025 14:24 MYT
Razarudin ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina di Persada Plus, pada Selasa.- Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SUBANG: Kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan pelakon dan pelawak Harith Iskander dan Cecilia Yap Song berhubung kes menghina agama Islam akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin.

Ringkasan AI
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan siasatan terhadap Harith Iskander dan Cecilia Yap Song berhubung kes menghina agama Islam.
  • Kertas siasatan akan dihantar kepada pihak pendakwa raya secepat mungkin setelah selesai, dengan Cecilia dan Harith telah dirakam percakapan mereka.
  • Cecilia Yap Song telah memohon maaf kepada masyarakat, khususnya orang Islam, atas kenyataannya yang didakwa menghina agama Islam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis kini masih dalam proses melengkapkan siasatan.
“Siasatan masih berjalan. Saya tidak pasti lagi (kertas siasatan diserah kepada DPP) … memang kita akan serah kepada DPP secepat mungkin,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina di Persada Plus, di sini, pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan, pihak polis telah selesai merakam percakapan Cecelia, 65, yang juga pemilik akaun Facebook Cecelia Yap Song KL, susulan hantarannya pada akaun Harith, 54, mengenai isu 'ham' yang didakwa menghina agama Islam.
Razarudin dilapor berkata, sebanyak 21 soalan ditanya kepada wanita itu yang mana dia mengaku memuat naik komen di ruangan Facebook terbabit.
Wanita berkenaan juga telah membuat hantaran memohon maaf kepada masyarakat, khususnya orang Islam, berhubung kenyataannya itu.
Selain itu polis juga telah merakam keterangan Harith susulan muat naik mengenai 'ham' di akaun Faceboknya.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 298 dan 505(c) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#Harith Iskander #Cecilia Yap #hina agama Islam #Razarudin Husain #terkini
;