Isu harga padi, beras akan dimuktamadkan 20 Mac ini - PM
Umavathi Ramayah
Februari 25, 2024 17:11 MYT
Februari 25, 2024 17:11 MYT
KUALA SELANGOR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi tempoh sehingga 20 Mac ini untuk memuktamadkan isu harga padi dan beras.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu harga padi dan beras itu perlu menjadi keutamaan bagi membantu menaik taraf golongan pesawah di negara ini.
"Pesawah mahu hasil padi mereka itu dinilai, maknanya kalau semua tak mahu tanam padi dan tukar (tanaman) lain untuk mendapat pendapatan lebih, negara hadapi risiko keselamatan makanan," katanya ketika berucap pada Program Madani Rakyat (PMR) Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad.
Anwar berkata, golongan pesawah antara yang paling miskin di negara ini meskipun rakyat secara keseluruhan mahu harga beras turun dan dikawal.
Justeru, katanya, kerajaan harus mengimbangi tuntutan pesawah dan rakyat agar semua pihak mendapat keadilan.
"Jika harga beras naik, ia beban kepada pengguna, jika tak naik ia (menjadi) beban kepada pesawah... jadi bagaimana hendak mengimbangi kedua-duanya?" katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.