Isu guru jenaka rogol perlu diambil serius - SUHAKAM

Fareez Azman
April 26, 2021 19:57 MYT
Tindakan guru terbabit bukan hanya memberi kesan kepada pelajar, sebaliknya ia juga menimbulkan kegusaran terhadap ibu bapa.
KUALA LUMPUR : Isu seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai jenayah rogol baru-baru ini perlu dilihat serius oleh semua pihak terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Demikian tegas Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Ujarnya, guru atau tenaga pengajar seharusnya menjadi contoh kepada pelajar terutama ketika memberi penjelasan berkaitan subjek sensitif seperti pendidikan seksual.
"Cara ia dicerita dan diterangkan itu adalah salah, kita memang dalam suaha memastikan KPM memperkenalkan subjek khas pendidikan seksual atau kesihatan reproduktif, ini salah satu perkara perlu diterangkan.
"Tetapi gurunya perlu guru terlatih boleh bercakap mengenai perkara ini," jelasnya.
Tambah Noor Aziah, tindakan guru terbabit bukan hanya memberi kesan kepada pelajar, sebaliknya ia juga menimbulkan kegusaran terhadap ibu bapa.
"Jadi kalau guru cakap macam itu seperti perkara biasa, ini bahaya. Sudah tentu ibu bapa rasa tak selamat anak pergi ke sekolah, ia bukan hanya ganggu anak tetapi institusi keluarga.
"Isu ini perlu diambil perhatian serius kerana isu rogol ini bukan perkara cantik tapi perkara menakutkan wanita," katanya lagi.
Justeru jelasnya, subjek berkaitan pendidikan seksual perlu diperkenalkan secara lebih berhati-hati agar perkara sama tidak lagi berlaku.
Ia termasuk cara guru berinteraksi dan menjawab setiap soalan daripada pelajar secara lebih tertib.
"Saya meminta KPM membuat pertemuan (dengan ibu bapa) saya rasa kita perlu melihat pendidikan guru ini secara keseluruhan.
"Sejak tahun 1995, kita telah tandatangani konvensyen hak kanak-kanak, sejak itu kanak-kanak ada hak dia, perlu diselamatkan daripada perkara mengganggu kebajikan, kita perlu melihat kalau memperkenalkan subjek-subjek tertentu," katanya lagi.
Jumaat lalu, seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Kuala Selangor mendakwa, seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas.
Menurut pelajar berkenaan, guru terbabit bercakap mengenai jenayah rogol ketika membincangkan tentang gangguan seksual semasa kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolahnya.
Pelajar berkenaan mendedahkan perkara itu menerusi satu klip video di platform media sosial TikTok, yang kemudiannya diciap di Twitter dan menjadi tular.
#Twitter #Astro Awani #Kuala Selangor #media sosial #jenayah #Media #rogol #kesihatan #Kementerian Pendidikan #pendidikan #keluarga #lelaki #wanita #pelajar #Kanak-kanak #guru
;