'Isu GST naik selepas PRN Sarawak tidak benar' - Chua

Luqman Hariz
Mei 12, 2016 12:49 MYT
TEE YONG: Saya harap berita palsu ini tidak akan terus disebar di media sosial.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong menyelar tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin kononnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan ditingkatkan kepada 8 peratus selepas Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak.
"Saya ingin menekankan tidak pernah ada perbincangan mahupun cadangan dari kerajaan untuk meningkatkan kadar GST buat masa ini.
"Saya harap berita palsu ini tidak akan terus disebar di media sosial," tegas Chua ketika selepas memberi ucaptama di Forum Ekuiti Persendirian dan Modal Teroka anjuran Suruhanjaya Sekuriti di sini hari ini.
Beliau turut menafikan dakwaan senarai barangan yang dikenakan kadar sifar GST akan dikurangkan.
Sementara itu Chua juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai isu perpindahan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
"Susulan perkembangan baru-baru ini, MOF akan jumpa 1MDB untuk bincang penyelesaian dan kita akan ambil langkah sewajarnya," tambahnya merujuk kepada kemungkiran 1MDB bayar faedah bon dan perselisihan faham bersama IPIC
Beliau turut menafikan kemungkiran pembayaran faedah bon oleh 1MDB akan mempengaruhi sasaran defisit fiskal kerajaan.
#1MDB #Chua Tee Yong #GST #khabar angin #PRN arawak #Timbalan Menteri Kewangan
;