Isu gangguan sistem idMe dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini
Bernama
Mac 16, 2023 09:20 MYT
Mac 16, 2023 09:20 MYT
KUALA LUMPUR: Isu Sistem Pengurusan IDentiti (idMe) yang didakwa sering mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugas guru dijangka dibangkitkan di mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara itu dibangkitkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bertanyakan sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan teknikal audit ke atas sistem berkenaan dan tindakan terhadap syarikat vendor yang gagal pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) bertanyakan Menteri Komunikasi dan Digital sama ada kementerian itu berhasrat meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, untuk memastikan ia tidak disalah guna.
Dalam pada itu, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) bertanyakan usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk membantu lebih banyak syarikat startup (permulaan) supaya mereka dapat berjaya dan mewujudkan unicorn yang boleh dibanggakan di Malaysia.
Dua rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 turut dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama, hari ini.
Mesyuarat Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa bagi hari keempat melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
-- BERNAMA