Isu gangguan bekalan air, elektrik di Labuan berkurangan - Dr Zaliha

Bernama
Mei 31, 2024 21:06 MYT
Dr Zaliha berkata, masih perlu penambahbaikan yang berterusan bagi memastikan penduduk Labuan terus menikmati kemudahan asas ini dengan lebih baik. - Facebook Zaliha Mustafa
LABUAN: Dalam tempoh empat bulan yang pertama tahun ini, aduan gangguan bekalan air di pulau bebas cukai di sini telah pun berkurangan sebanyak 36 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata namun begitu, perlu ada penambahbaikan yang berterusan bagi memastikan penduduk Labuan terus menikmati kemudahan asas ini dengan lebih baik.
Beliau berkata sebagai alternatif jangka pendek, pada suku pertama tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah mengedarkan 1,000 unit tangki air yang dibekalkan kepada 1,000 unit rumah yang sering terkesan dengan gangguan bekalan air untuk menampung keperluan sekiranya berlaku gangguan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta pada tahun lepas untuk mengatasi isu bekalan air di Labuan.
"Alhamdulillah, sekarang ini kerja-kerja menaik taraf sedang giat dijalankan...Insya-Allah, projek menaik taraf dan mengganti paip sedia ada sepanjang 35 kilometer yang akan mengurangkan risiko gangguan bekalan air ini akan siap selewat-lewatnya pada suku kedua tahun ini," katanya pada Majlis Santai Mesra Perdana Menteri Bersama Komuniti Labuan hari ini.
ZALIHA - AIR 2 (AKHIR) LABUAN
Dr Zaliha berkata pengurusan bekalan air di Labuan mengalami masalah antaranya disebabkan 64 peratus daripada paip sedia ada telah usang dan berusia lebih daripada 30 tahun.
"Sehubungan itu, empat isu utama yang diberi perhatian oleh pihak Kerajaan Persekutuan adalah membaik pulih aset-aset usang, menyediakan sistem penyimpanan air dan memastikan sumber bekalan air mentah mencukupi untuk kegunaan rakyat Labuan," katanya.
Menurut beliau, bagi isu bekalan elektrik pula, secara puratanya Labuan memerlukan kapasiti elektrik dari 55 hingga 80 megawatt (MW) sehari.
"Alhamdulillah, sebanyak dua ladang solar telah siap dibangunkan untuk meningkatkan lagi keupayaan pembekalan elektrik di Labuan iaitu Ladang Solar Tanjung Kubong yang berkapasiti 5 MW dan Ladang Solar Bukit Kalam yang berkapasiti 10 MW.
"Hasil tinjauan yang dilaksanakan, selama empat bulan terkebelakang, berlaku pengurangan gangguan bekalan elektrik sebanyak lima peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas," katanya.
Dr Zaliha berkata bagi penyelesaian jangka panjang, Perdana Menteri telah mengumumkan pembinaan stesen janakuasa baharu menggantikan stesen janakuasa sedia ada di Patau-Patau dengan kapasiti penjanaan bekalan elektrik 100 hingga 130 MW.
-- BERNAMA
#bekalan air #elektrik #penduduk Labuan #Zaliha Mustafa #kemudahan
;