Isu gabungan FKPM: 'Tiada perubahan silibus ibarat tukar nama sahaja'
Fareez Azman
Disember 29, 2022 17:05 MYT
Disember 29, 2022 17:05 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) perlu melibatkan penstrukturan kurikulum yang melibatkan silibus pengajian.
Alumni FKPM, Profesor Datuk Ahmad Murad Merican berkata, sekiranya penggabungan tidak melibatkan silibus pengajian, ia seolah-olah hanya menukar nama semata-mata.
"Apa yang telah berlaku, (ini) tindakan regresif, oleh kerana ada dua sebab, pertama saya tidak nampak gabungan itu diiringi penstrukturan semula kurikulum, perubahan silibus atau pengenalan kursus dan program baru.
"Misalnya, gabungan komputer, teknologi maklumat, bidang-bidang seperti teknologi, misalnya perlu dimasukkan sebagai satu bidang mata pelajaran tapi tidak dilakukan," katanya.
Sekiranya perubahan yang ingin dibuat, seharusnya gabungan itu melibatkan bidang berkaitan digital dalam pengajian media, ujarnya.
"Ia hanya gabungan dalam bentuk nama, tidak ada perubahan rombakan konotasi, bagi saya ini satu gabungan yang kosong, tidak mempunyai ciri-ciri yang progresif.
"Pertama, penggabungan dengan bidang sains, sosial dan kemanusiaan, lebih mantap dan relevan.
"Juga, bidang-bidang berkait dengan bagaimana kita nak lebih mencelikkan dengan gejala teknologi misalnya kemahiran dunia digital, tapi signifikan asas dan konsep dunia digital," tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Alumni FKPM di Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Terdahulu, Alumni FKPM membantah penggabungan dua fakulti berkenaan atas pendirian entiti baharu itu akan melemahkan pendidikan asas komunikasi.
Mengikut rekod, penggabungan dua fakulti itu dikenali sebagai Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media
Isu penggabungan itu juga dilihat menjadi perbualan di laman sosial terutama kepada bekas pelajar FKPM UiTM yang rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan terbabit.
#Ahmad Murad Merican
#Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
#penstrukturan semula kurikulum
#perubahan silibus