Isu feri: Kerajaan Pulau Pinang ulang tawaran ambil alih operasi
Astro Awani
Februari 25, 2015 19:00 MYT
Februari 25, 2015 19:00 MYT
Kerajaan DAP Pulau Pinang mengulangi tawarannya untuk mengambil alih perkhidmatan feri di negeri itu dalam usaha mengelak masalah kenaikan tambangnya.
Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata ,jika kerajaan negeri diberi peluang mengambil alih operasi tersebut dari Penang Port SDN. BHD. (PPSB), pihaknya mampu menguruskan feri dengan baik seterusnya membawa keuntungan.
Malah Guan Eng berkata, pihaknya turut bersedia membuat pelaburan baru untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan feri di negeri itu.
"Beri kerajaan negeri uruskannya kerana operator perlabuhan kata mereka mengalami kerugian setiap tahun.
"Jadi kita berminat untuk mengambil alih lokasi ini dan percaya ia akan kembalikan kegemilangannya selain melihat kemampuannya sebagai tapak sejarah negeri, sama seperti yang dibuat kepada Georgetown," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Guan Eng yang turut membantah cadangan kenaikan tambang feri itu berkata, pihaknya percaya pengurusan yang lemah menyebabkan pengendali feri itu mengalami kerugian.
Justeru, beliau berharap hasrat itu dipertimbangkan sekali lagi dalam usaha memastikan ikon pelancongan negeri itu terus bertahan.
"Pada 2008, kerajaan negeri telah menyuarakan hasrat untuk mengambil alih perkhidmatan feri selepas pengendali feri itu mengalami kerugian setiap tahun.
"Namun tawaran itu dipandang sepi pihak PPSB sehinggalah PPSB diswastakan kepada Seaport Terminal SDN BHD tahun lalu," jelasnya.
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) baru-baru ini mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk menaikan tambang feri berikutan berdepan kerugian tahunannya semasa menjalankan perkhidmatan feri.
Kerugian dilaporkan berjumlah RM23 juta pada tahun 2013.
Pada Selasa, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementeriannya masih menimbang cadangan kenaikan tambang yang dikemukakan oleh SPPP dan akan meneliti pandangan orang ramai terlebih dahulu sebelum membuat keputusan meluluskan atau menolak cadangan tersebut.
Pada 16 Februari lalu, SPPP mengeluarkan notis hebahan mengenai cadangan membuat semakan tarif bagi perkhidmatan ferinya.
Menurut pekeliling itu, kadar tambang yang dicadangkan bagi motosikal bakal dinaikkan dari RM2 kepada RM3.50, kereta dari RM7.70 kepada RM9, pejalan kaki dari RM1.20 kepada RM2 dan basikal dari RM1.40 kepada RM1.50 sen.
Manakala , harga tiket bermusim untuk pelajar turut dicadang dinaikkan kepada RM6 daripada RM3 manakala dewasa kepada RM50 daripada RM30.
Bagi lori dua gandar empat tayar, ia dicadang untuk dinaikkan kepada RM20 daripada RM13.20 sementara bagi lori dua gandar enam tayar, kepada RM40 daripada RM27.50.
#Feri Pulau Pinang
#Lim Guan Eng
#Penang Port Sdn Bhd
#PPSB
#SPPP
#Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang