Isu FashionValet: Speaker Dewan Rakyat rasa 'tidak masuk akal'
Ridauddin Daud
November 4, 2024 17:33 MYT
November 4, 2024 17:33 MYT
KUALA LUMPUR: Isu pelaburan yang merekodkan kerugian melibatkan FashionValet antara topik dibangkitkan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) antara yang menyuarakan isu tersebut ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025.
Beliau mengkritik perkara yang berlaku lebih-lebih lagi betapa mudahnya mereka yang terlibat berhenti daripada syarikat terbabit dan kemudian meminta maaf sedangkan wang rakyat sudah ‘lebur’.
Kelvin Yii (PH-Kuching) juga membangkitkan isu sama, sambil memuji tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan siasatan membabitkan isu berkenaan.
“Saya menyambut baik hasrat dan arahan Perdana Menteri yang bukan hanya mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian dalam FashionValet tapi juga mengarahkan Jabatan Audit Negara untuk melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat GLC.
“Ini isu yang sangat penting kerana bukan sahaja melibatkan wang rakyat yang banyak tapi juga melibatkan isu tatakelola dan tanggungjawab dalam pengruusan GLC dan GLIC ini,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor juga mengambil peluang pada ruang perbahasan Kelvin untuk menyatakan pandangan beliau.
Tegasnya, beliau merasakan ‘tidak masuk akal’ apabila wang rakyat lebih RM40 juta dibelanjakan namun tidak mendatangkan hasil.
“Boleh tak melalui YB, kita tanya Menteri (Menteri Kewangan), ada tak kelulusan daripada MOF diperoleh daripada GLC dan GLIC ini. Itu satu.
“Kedua, semasa FashionValet ini ada menjual sahamnya, adakah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kewangan atau Khazanah? Boleh saya tumpang?
Kelvin menjawab: “Memang sangat bagus, saya izinkan masuk dalam ucapan saya."
Ramli menyambung: "Sebab duit rakyat RM40 juta lebih dibelanjakan. Minta maaflah, saya sebelum ini penyiasat. Benda-benda ini, dalam kepala saya tak boleh compute (terima), dari aspek tatakelola.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin.