Isu FashionValet: Proses rakam percakapan Vivy, suami masih berjalan - SPRM
Sinar Harian
November 5, 2024 18:32 MYT
November 5, 2024 18:32 MYT
PUTRAJAYA: Selepas tiga jam, proses rakaman percakapan pengasas platform e-dagang FashionValet, Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar masih berlangsung di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ringkasan AI
- Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah, masih dalam proses rakaman percakapan oleh SPRM di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
- SPRM menyerbu empat lokasi termasuk Khazanah, PNB, MoF, dan ibu pejabat FashionValet sebagai sebahagian daripada siasatan.
- Siasatan ini berkaitan dengan kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet, yang bernilai RM3.1 juta.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi pada Selasa.
"Masih (rakaman keterangan)," katanya ringkas.
Ujar beliau, siastan SPRM berdasarkan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Berdasarkan definisi SPRM, Seksyen 18 adalah mengemukakan atau mengesahkan dokumen yang mengandungi butiran palsu.
Terdahulu, Vivy dan Fadzaruddin tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya jam 2.30 petang.
Isnin minggu lalu, Kementerian Kewangan (MoF) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Khazanah telah mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan tersebut.
Empat premis termasuk MoF, Khazanah dan PNB diserbu SPRM secara serentak pada Isnin.
Satu lagi lokasi yang diserbu SPRM adalah di ibu pejabat FashionValet yang terletak di Bangsar.