Isu emas Ziyad: Tindakan yang bakal diambil tidak akan rugikan atlet dan negara - Faizal

Abd Hadi Che Awang
September 4, 2021 15:03 MYT
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan yang akan diambil kelak bertujuan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan bukannya hukuman semata-mata. - Gambar Astro AWANI
YAN: Tindakan yang akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam insiden penarikan pingat emas atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan diteliti dengan sebaik mungkin agar tidak merugikan atlet dan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu bertujuan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan bukannya hukuman semata-mata.
"Saya faham keresahan rakyat, apabila perkara ini berlaku, tapi apa tindakan yang kita nak buat dengan menghukum seorang jurulatih yang berjaya mencungkil bakat ke peringkat antarabangsa?
"Jika beliau (mengakui) bertanggungjawab atas kesilapan dan (diputuskan untuk) dihukum tidak boleh latih (atlet) lagi, saya kira itu satu perkara yang merugikan, jika kita ambil tindakan, biar yang menguntungkan negara bukan merugikan atlet sukan dan negara," tegas Ahmad Faizal.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan di bangunan Majlis Belia Daerah Yan di sini, pada Sabtu.
BACA: Paralimpik Tokyo 2020: Protes atlet Ukraine, Ziyad terlepas pingat emas
BACA: "Saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku" - Jurulatih Ziyad
Pembatalan Emas | Jangan tunding jari cari kesalahan sesiapa - Faizal
Pada Jumaat, Faizol Harun yang merupakan jurulatih kepada Muhammad Ziyad berkata, dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku terhadap anak didiknya yang terlepas pingat emas bagi acara lontar peluru F20.
Dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Jepun, Faizol tidak menganggap isu tersebut sebagai sabotaj daripada lawan sebaliknya kerana kesilapan teknikal.
Selasa lalu, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.
Pembatalan pingat emas Muhammad Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA - 'Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu' yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.
#Muhammad Ziyad Zolkefli #Paralimpik Tokyo 2020 #Ahmad Faizal Azumu #atlet lontar peluru #pingat emas Ziyad
;