Isu ekonomi dijangka jadi fokus utama Sidang Kemuncak Asean 2015
Harits Asyraf Hasnan
Januari 21, 2015 20:27 MYT
Januari 21, 2015 20:27 MYT
Isu ekonomi dilihat bakal menjadi fokus platform perbahasan para pemimpin Asean terutama dalam memacu pembangunan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).
Pada masa sama, isu keselamatan politik dan sosio-budaya turut menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak Asean Ke-26 pada 26 dan 27 April depan.
Malaysia yang akan mempengerusikan sidang kemuncak tersebut melihat ketiga-tiga tonggak itu merupakan intipati penting dalam pembangunan negara-negara serantau.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan Asean-Malaysia, Mohd Zamruni Khalid, landskap ekonomi dunia hari ini yang tidak menentu sedikit sebanyak memberi kesan kepada negara-negara Asean.
“Sudah tentulah, orang paling nampak adalah mengenai ekonomi sebab perkara-perkara mengenai ekonomilah kita boleh sukat jadi untuk perkara lain itu agak susah sikit orang nak buat ukuran.
“Sebab itu orang memikirkan bahawa apa-apa yang bersangkutan dengan ekonomi adalah lebih penting tetapi sebenarnya pada pandangan kita semua itu adalah sama,” ujar Zamruni.
Pada masa sama, Zamruni berpendapat pembangunan komuniti Asean harus dilakukan secara menyeluruh dan optimum dalam usaha membentuk komuniti Asean menjelang akhir 2015.
Malaysia, yang menjadi Pengerusi Asean buat kali ketiga, bakal menganjurkan Persidangan Menteri-Menteri Luar selain sidang kemuncak yang dijadual berlangsung pada April.
Dalam pada itu, Malaysia kini bersedia menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak tersebut.
Setiausaha Bahagian Sekretariat Induk Logistik Asean 2015, Wan Zaidi Wan Abdullah berkata sidang itu dijangka dihadiri kesemua 10 ketua negara Asean serta delegasi masing-masing dalam usaha memacu pembangunan Asean.
“Persediaan itu hampir mencapai tahap kesempurnaan, kalau tak 100 peratus pun, maknanya kalau kita buat satu perkara itu esok, Insyaallah kita akan dapat lakukan dengan baik.
“Memandangkan kita ada banyak acara yang terpaksa dianjurkan, kita akan merancang supaya apabila satu acara itu berlangsung, kita dah bersiap sedia untuk acara seterusnya,” jelas Wan Zaidi.
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran sidang kemuncak itu satu pasukan logistik khas turut dibentuk.