Isu Dr Mahathir: Mukhriz tersepit di antara Najib dan ayah sendiri - Raja Nong Chik
Wan Syamsul Amly
April 13, 2015 17:50 MYT
April 13, 2015 17:50 MYT
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat tersepit untuk membuat keputusan menyatakan sokongan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau bersetuju dengan pendapat ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Mukhriz perlu diberi masa dan sebarang tekanan kepadanya hanya akan memburukkan keadaan.
"Dia tidak boleh kata tidak sokong ayahnya, itu tanggungjawab seorang anak di dalam Islam. Mukhriz kini tersepit.
"Namun saya yakin dia tidak menolak Najib, dia akan membuat keputusan terbaik dalam sedikit masa dan keputusan itu akan memberi manfaat kepada keseluruhan parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Raja Nong Chik mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang meminta Mukhriz meletakkan jawatannya sekiranya tidak dapat menyatakan pendirian tentang sokongannya terhadap kepimpinan Najib.
Ahmad turut menasihatkan Mukhriz untuk meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi menyokong Najib.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut dilaporkan mahu Mukhriz memastikan UMNO Kedah tidak berpecah ekoran isu kritikan Dr Mahathir.
Tegas Hishammuddin, kepimpinan Mukhriz juga dianggap gagal seandainya sesuatu yang buruk berlaku kepada UMNO di Kedah.
Dalam pada itu, jelas Raja Nong Chik, krisis Dr Mahathir dan Najib dilihat dapat diselesaikan dalam sedikit masa.
"Beri sedikit masa untuk semua pihak berkenaan memperbetulkan keadaan.
"Saya yakin UMNO akan tetap menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Paling penting kini selesaikan kesilapan dan betulkan kesilapan," ujarnya.
Sebelum ini, media perdana menyiarkan temu bual Najib yang menjawab soalan mengenai beberapa isu yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Dr Mahathir.