Isu doktor kontrak: PM Anwar merayu, tegaskan kerajaan tidak remehkan isu
Ridauddin Daud
April 4, 2023 12:13 MYT
April 4, 2023 12:13 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan dana tambahan berjumlah RM1.7 bilion daripada RM3 bilion bagi membantu menyelesaikan isu pegawai perubatan kontrak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu menoktahkan isu tersebut.
Menurutnya, beliau faham tuntutan mereka yang terkesan, namun menegaskan kerajan tidak mampu untuk menyelesaikan semuanya dalam satu tahun memandangkan isu tersebut sudah berlarutan terlalu lama.
“Sebab itu saya merayu…sementara tuntutan itu munasabah, mereka berkhidmat telah lama tapi perkara ini sudah tertangguh sekian lama.
“Jadi untuk tahun ini kita selesaikan semua, kita tidak mampu. Jadi apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk menambah RM1.7 bilion daripada penambahan RM3 bilion emolumen untuk 2023.
“Jadi kita jangkakan, kalau ini dapat dilakukan dalam tempoh tiga tahun, maknanya kita dapat menyerap 12,8000 orang doktor kontrak yang ada sekarang dalam tempoh tiga tahun.
“Ini kerana tahun ini kita menyerap 4,300 orang dan jumlah keseluruhan 20,333 latihan kontrak,” katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan kerajaan tidak meremehkan isu tersebut kerana doktor kontrak berkhidmat dengan baik dan negara memerlukan mereka.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat, menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (PH - Tuaran) yang bertanya bilakah pegawai perubatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap.