Isu doktor kontrak: 'Lanjutan kontrak untuk beri masa pinda Akta Pencen' - Dr Noor Hisham
Nickyson Nyambar
Julai 25, 2021 23:00 MYT
Julai 25, 2021 23:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lanjutan kontrak dua tahun yang diumumkan bagi doktor kontrak adalah untuk memberi masa kepada kerajaan membuat pindaan terhadap Akta Pencen 1980.
Katanya, pindaan itu penting untuk membolehkan pengambilan ke jawatan tetap boleh dilakukan dengan pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Sementara menunggu pindaan itu, kerajaan akan membenarkan petugas kontrak untuk menyambung pengajian sarjana dan menawarkan jawatan tetap dengan pilihan KWSP setelah tersedia nanti," katanya di laman Facebooknya, malam ini.
Beliau dalam pada itu, menggesa semua pihak terutama kalangan petugas kesihatan untuk tidak meninggalkan tanggungjawab dan menyertai demonstrasi berkaitan isu doktor kontrak.
"Saya menyeru rakan kerja, para doktor, petugas kesihatan untuk mengingati ikrar yang telah kita lakukan ketika kita memulakan tugas kita, "primum non nocere" iaitu tidak menyakiti atau berlaku tidak adil kepada pesakit-pesakit kita.
"Kepada rakan sekerja muda kita dengan jawatan kontrak, saya menggesa anda semua untuk tidak menyertai demonstrasi dan meninggalkan tugas anda terhadap pesakit.
"Ingat, banyak nyawa boleh terlibat dan demonstrasi (ini) boleh boleh memberi impak terhadap kehidupan mereka, termasuk kerjaya anda," katanya.
Ujarnya, beliau faham dengan keperluan para doktor kontrak ini untuk berkhidmat sebagai jawatan tetap di dalam Kementerian Kesihatan (KKM).
Justeru katanya, kerajaan telah mengumumkan pelanjutan dua tahun bagi posisi kontrak tersebut, sekali gus memberi masa untuk melakukan pindaan terhadap akta berkaitan.
Beliau turut berharap, semua doktor beretika dan mengutamakan keselamatan pesakit ketika ini.
"Kita adalah kubu terakhir yang melakukan perbezaan kepada pesakit kita dan setiap nyawa adalah penting," tegasnya.
Terdahulu, jurucakap Gerakan Doktor-Doktor Kontrak Malaysia, Dr Umar Baraka berkata Hartal Doktor Kontrak atau mogok umum yang dijadual pada 26 Julai diteruskan untuk mendesak kerajaan menunaikan tuntutan golongan berkenaan.
Beliau menyifatkan ia adalah permulaan kerana lebih banyak tindakan sebegitu akan dilakukan sekiranya isu tersebut masih tidak selesai.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat dilapor berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bersama kementerian serta agensi lain diarah merangka pelan komprehensif dan inklusif bagi menangani isu berkaitan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.
Beliau berkata pelan tersebut perlu merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek, sederhana dan pelan jangka panjang.
#hartal doktor kontrak
#Ketua Pengarah Kesihatan
#Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
#protes
#isu doktor kontrak
#lanjutan kontrak