Isu doktor kontrak: KKM beri peringatan untuk tidak sertai perhimpunan haram

Nickyson Nyambar
April 1, 2023 21:14 MYT
Dr Zaliha Mustafa berkata, Kabinet bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi melibatkan beberapa kementerian dan agensi bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peringatan bahawa penjawat awam adalah dilarang untuk terlibat dalam mana-mana perhimpunan haram, terutama sekali kakitangan kesihatan di bawahnya.
Ujar KKM dalam perkongsian di Twitter pada Sabtu, etika tata kelakuan itu adalah seperti yang tertakluk dalam surat edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 30 Jun 2011.
Menurut KKM, penglibatan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4(1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993 yang mana ia melarang penglibatan aktif di luar masa bekerja, menggunakan masa pejabat dan meninggalkan pejabat untuk melihat dan menyertai perhimpunan haram.
"Ini termasuk menggunakan peralatan pejabat seperti mesin cetak, mesin penyalin komputer untuk mencetak dan mengedar risalah berkaitan perhimpunan haram," katanya di laman Twitter hari ini.
Sekiranya didapati bersalah, pegawai yang terlibat dalam kegiatan tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras peraturan-peraturan pegawai awam.
Baru-baru ini, sekumpulan doktor kontrak di sebalik akaun Mogok Doktor Malaysia di Instagram mengumumkan mogok yang bakal diadakan bermula Isnin.
Tanpa mendedahkan identiti mereka, kumpulan doktor itu memberi amaran bahawa lebih 3,000 anggota kesihatan awam akan meletak jawatan bulan ini, kerana kebanyakan daripada mereka tidak ditawarkan jawatan tetap.
#KKM #Doktor Kontrak #perhimpunan haram #penjawat awam
;