Isu doktor kontrak: Hartal 26 Julai diteruskan untuk desak tuntutan dipenuhi - Penganjur
Ridauddin Daud
Julai 24, 2021 18:51 MYT
Julai 24, 2021 18:51 MYT
KUALA LUMPUR: Hartal Doktor Kontrak atau mogok umum yang dijadual pada 26 Julai ini akan diteruskan untuk mendesak kerajaan menunaikan tuntutan golongan berkenaan, kata Gerakan Doktor-Doktor Kontrak Malaysia.
Jurucakapnya, Dr Umar Baraka, menyifatkan ia adalah permulaan kerana lebih banyak tindakan sebegitu akan dilakukan sekiranya isu tersebut masih tidak selesai.
Tegasnya, buat masa ini, mereka akan melihat reaksi kerajaan terlebih dahulu sebelum merancang untuk tindakan selanjutnya.
“Kenyataan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang berasakan telah beri solusi... itu bukan solusi sebenarnya tapi semakin menimbulkan kemarahan kepada kami yang semakin penat melawan pandemik.
“Sebab itu kami berasakan ia satu tanggungjawab kepada kerajaan, berikan satu penyelesaian kukuh. Ini bukan main-main, ini bukan setakat kenyataan media. Berikan betul-betul satu ‘blueprint’ bagaimana nak atasi perkara ini.
“Andai kerajaan benar-benar dengar suara rakyat dan barisan hadapan, anda akan buat betul-betul, bukan hanya beri gula-gula dan isu ini senyap saja, kemudian kontrak kami ditamatkan,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Sabtu.
Tambah Dr Umar, pihaknya juga sudah menyediakan pasukan perundangan sebagai persiapan awal sekiranya ada doktor kontrak yang ditamatkan perkhidmatan kerana menyertai mogok tersebut.
Tegasnya, isu yang dibawa adalah isu negara dan mereka berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak untuk bersuara.
“Ada dua perkara kami minta. Pertama, jadikan kami doktor kontrak sebagai lantikan tetap dan mendapat manfaat yang sama seperti lantikan tetap.
“Kedua, berikan kriteria hitam putih kepada kami bagaimana untuk mendapat lantikan tetap sebab sampai sekarang, tidak jelas kriteria tersebut dan kami risau ia tidak telus,” ujarnya.
Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik keputusan kerajaan menawarkan pelanjutan kontrak selama dua tahun kepada doktor kontrak
Begitupun, Presidennya, Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, tawaran itu hanyalah penyelesaian jangka pendek dan pihaknya mendesak penyelesaian jangka panjang diambil bagi menyelesaikan terus isu tersebut.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat dilapor berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bersama kementerian serta agensi lain diarah merangka pelan komprehensif dan inklusif bagi menangani isu berkaitan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.
Beliau berkata pelan tersebut perlu merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek, sederhana dan pelan jangka panjang.
#hartal
#Doktor Kontrak
#lanjut
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#PM
#MMA
#Dr Subramaniam
#pandemik
#mogok
#perubatan
#kesihatan