Isu DNB masih belum diputuskan – Fahmi Fadzil
Syafik Shukri Jalil
Januari 3, 2024 04:00 MYT
Januari 3, 2024 04:00 MYT
PUTRAJAYA: Perbincangan mengenai agensi yang akan diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital masih berjalan di samping isu seperti Digital Nasional Bhd (DNB) masih belum diputuskan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, status terkini berhubung pelaksanaan rangkaian 5G belum diperoleh dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Memandangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal di bawah Kementerian Komunikasi, maka Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan terus melaksanakan tugas sebagai pengerusi bersama pasukan petugas 5G.
“Kita jangka tidak lama lagi liputan 5G kawasan berpenduduk (CoPA) mencapai 80 peratus, yang seterusnya membolehkan pelaksanaan dwi-rangkaian 5G,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pertama bagi tahun 2024.