Isu dibangkit Laporan Bank Dunia telah, sedang ditangani KPM - Fadhlina

Bernama
Mei 2, 2024 16:10 MYT
Fadhlina berkata, KPM juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi reformasi pendidikan negara. - Gambar/ Astro AWANI
SERDANG: Isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Bank Dunia berkenaan sistem pendidikan negara sebenarnya telah ditangani Kementerian Pendidikan (KPM) secara progresif dan proaktif, menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata KPM juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi reformasi pendidikan negara termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum untuk menangani keciciran pembelajaran.
"KPM telah lebih awal mengumumkan reformasi pendidikan, pertamanya dengan penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti isu-isu dan melaksanakan reformasi ini dengan segera.
"Sebagai contoh, jawatankuasa peluasan prasekolah telah kita laksanakan dan 2023 dan 2024 adalah tahun peluasan prasekolah di institusi KPM secara besar-besaran," katanya kepada pemberita selepas memberikan syarahan pada program Distinguished Lecture Series on Youth Well-Being (DLS) di sini hari ini.
Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills antara lain menyatakan walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan kepada sektor pendidikan negara, tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar masih jauh ketinggalan.
Dalam pada itu Fadhlina berkata KPM telah mengadakan siri libat urus dengan pihak berkepentingan berkaitan masa depan pendidikan di Malaysia antaranya membincangkan mengenai kerangka kurikulum persekolahan 2027.
"Siri libat urus ini bagi menjawab persoalan, kebimbangan dan juga keprihatinan masyarakat tentang apa sepatutnya diajar dan fokus dalam pendidikan kita. Kurikulum ini akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2027, tetapi prasekolah akan bermula lebih awal pada 2026," katanya.
Beliau berkata KPM juga giat menyiapkan para guru dengan kerangka kurikulum baharu itu.
Terdahulu dalam syarahannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, Fadhlina berkata KPM komited meningkatkan kualiti, kesaksamaan dan akses pendidikan dengan tiada pelajar harus dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara.
Beliau berkata kerajaan juga sentiasa berusaha membantu pelajar kurang berkemampuan, berkeperluan khas dan mereka yang datang mencari perlindungan di negara ini.
"Pendidikan berkualiti adalah milik semua tidak kira bangsa, agama atau politik. Suka atau tidak ini adalah fakta dan kami berbangga untuk memimpin melalui teladan," katanya.
-- BERNAMA
#KPM #Laporan Bank Dunia #Fadhlina Sidek #sistem pendidikan negara
;