Isu darurat: Serah kepada budi bicara, kebijaksanaan Agong - PGSM

Fauzi Suhaimi
Oktober 25, 2020 16:52 MYT
Darurat perlu ambil kira faktor keselamatan, kesihatan, ekonomi dan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan kes-kes COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menzahirkan kepercayaan terhadap Yang di-Petuan Agong untuk meletakkan keutamaan dan kesejahteraan rakyat di puncak utama sekiranya cadangan mengisytiharkan proklamasi darurat dilaksanakan.
Presiden PGSM, Musa Awang berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memutuskan sama ada wajar atau tidak suatu proklamasi darurat dikeluarkan.
Perkara itu, jelas beliau perlu mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan, ekonomi dan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan kes-kes COVID-19 di negara ini yang meningkat secara mendadak.
"PGSM menegaskan bahawa semasa dalam tempoh proklamasi darurat berkuatkuasa, apa-apa undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; atau yang berhubungan dengan agama, kewarganegaraan, atau bahasa. (Perkara 6A Perlembagaan Persekutuan).
"PGSM percaya bahawa Al Sultan Abdullah akan meletakkan keutamaan dan kesejahteraan rakyat di puncak utama dalam mempertimbangkan apa juga keputusan yang akan dibuat," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
BACA: LAPOR LANGSUNG: Pertemuan Agong, Raja-Raja Melayu
BACA: Apa itu Darurat? Ini 15 perkara anda perlu tahu
Dalam pada itu, Musa berkata, pihaknya percaya bahawa kuasa untuk mengisytiharkan proklamasi darurat adalah kuasa khas yang diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan.
"Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu proklamasi darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.
"Proklamasi darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan; atau kehidupan ekonomi; atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku," jelasnya lagi.
#Yang di-Pertuan Agong #Parlimen #ekonomi #kesihatan #rakyat #keselamatan #undang-undang #COVID-19 #Malaysia #darurat #Perlembagaan Persekutuan
;