Isu dana UKSB: Saya belum dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa - Muhyiddin

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 21, 2022 17:55 MYT
Muhyiddin bercakap kepada media selepas hadir pada Program #RuangBelia Bersama Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di sini hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiada mana-mana pihak berkuasa menghubungi beliau termasuk Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini berhubung dakwaan menerima dana politik dari sebuah syarikat swasta, Ultra Kirana Sdn. Bhd (UKSB).
Bagaimanapun jelasnya, beliau sedia memberi kerjasama terhadap mana-mana pihak berkuasa di negara ini jika diminta berbuat demikian.
"Sayapun dah buat kenyataan yang agak jelas, dah ada orang buat laporan polis, biar Polis siasat.
"Kalau SPRM nak panggil saya pun boleh panggil. Saya tak takut kerana saya cakap yang benar. Setakat ni tak ada (dihubungi oleh pihak berkuasa) saya cakap benar, saya tak pernah bohong," katanya selepas hadir pada Program #RuangBelia Bersama Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di sini hari ini.
BACA: "Saya tidak pernah terima apa-apa wang daripada UKSB" - Khairy
BACA: Anifah Aman nafi terima wang daripada UKSB
BACA: Muhyiddin nafi terima dana politik RM1.3 juta, sifatkan dakwaan palsu
Sebelum ini, nama Muhyiddin disebut sebagai salah seorang penerima dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), Ultra Kirana Sdn. Bhd. dalam kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Perkara itu didedahkan saksi pendakwaan ke-17, David Tan dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid ketika menunjukkan kandungan buku lejar disimpan dalam satu pendrive.
Terima Dana UKSB | SPRM buka kertas siasatan terhadap penama terlibat
#Muhyiddin Yassin #Rasuah #UKSB #Zahid Hamidi #SPRM
;