Isu dana RM90 juta: SPRM harus dirombak semula - Khairuddin

Astro Awani
Februari 27, 2019 20:14 MYT
KHAIRUDDIN: SPRM tidak bersikap tegas dalam berbagai isu di bawah bidang kuasa mereka. - Gambar fail/BERNAMA
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya dirombak semula akibat masalah integriti dan persepsi rakyat yang masih negatif terhadap badan itu sendiri kini.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kebocoran maklumat di dalam agensi itu kini sangat berleluasa dan amat sukar dikawal lagi.
"Keseluruhan rakyat ingin mendapat penjelasan lanjut daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menyatakan tiada kemasukan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun Pas seperti yang didakwa sebelum siasatan secara menyeluruh dijalankan.
"Kenyataan itu amat meragukan, SPRM belum menjalankan siasatan secara komprehensif dan Mohd Shukri sudah membuat kenyataan tersebut.
"Selain itu, ia termasuk isu maklumat yang bocor di media tertentu sebelum mana-mana pemimpin didakwa di mahkamah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
BACA: Dana RM90 juta 1MDB tak masuk ke dalam akaun Pas - SPRM
TONTON: Isu Pas & Dana RM90 Juta: SPRM belum dapat maklumat penuh - Tun M
SPRM pada Ahad mengesahkan tiada kemasukan dana 1MDB ke dalam akaun Pas seperti yang didakwa sebelum ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, SPRM perlu mengambil masa untuk menyiasat dakwaan itu selain mungkin kenyataan itu dibuat ekoran suruhanjaya itu belum mendapat maklumat sepenuhnya.
Dalam perkembangan berasingan, Khairuddin menjelaskan, SPRM tidak bersikap tegas dalam berbagai isu di bawah bidang kuasa mereka.
"Ada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) yang disiasat di bawah pelbagai salah laku masih diberikan kelonggaran untuk mendapatkan pasport bagi tujuan ke luar negara.
"Mereka didakwa di bawah kesalahan-kesalahan yang amat serius tetapi dalam masa yang sama SPRM memberi pelbagai kelonggaran untuk bekas-bekas pemimpin ini mendapatkan pasport secara sementara untuk ke luar negara," katanya.
Khairuddin turut melemparkan persoalan perkembangan siasatan kes SRC International Sdn Bhd.
"Saya ingin tanya SPRM, apakah siasatan mengenai penyelewengan berbilion ringgit duit SRC yang bersangkutan dengan skandal 1MDB di luar negara sudah selesai disiasat?
"Sekiranya belum, mengapa mengambil masa yang terlalu lama?
"Ini yang pelik bagi saya, siasatan mengenai kes skandal 1MDB secara menyeluruh belum selesai tetapi Ketua Pesuruhjaya SPRM secara pantas sudah membuat kenyataan menafikan mengenai isu RM90 juta yang dikatakan oleh Sarawak Report dibayar kepada parti serta pemimpin-pemimpin Pas," ujarnya.
Tegasnya, Mohd Shukri harus sedar, Pas telah memohon editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menyelesaikan isu berkenaan di luar mahkamah di London.
"Selain itu difahamkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membuat bayaran yang agak tinggi kepada Rewcastle Brown.
"Secara tidak langsung, isu ini sudah pasti mempunyai asas yang konkrit. Jika tidak masakan Abdul Hadi memohon penyelesaian dengan jumlah yang besar di luar mahkamah," katanya.
Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Pas menjelaskan kepada rakyat sama ada parti itu telah membayar lebih RM1juta kepada Rewcastle Brown bagi menyelesaikan kes saman fitnah di luar mahkamah.
Kata Anwar, penjelasan itu perlu dilakukan memandangkan berlaku banyak kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung kes saman tersebut yang difailkan Abdul Hadi.
#1Malaysia Development Berhad #Abdul Hadi Awang #Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #Clare Rewcastle Brown #Isu dana RM90 juta #Khairuddin Abu Hassan #Mahathir Mohamad #Sarawak Report #SRC International #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;